Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Denmark dijangka hapus cukai jualan buku

    COPENHAGEN, 20 OGOS – Bimbang dengan ‘krisis membaca,’ kerajaan Denmark akan menghapuskan cukai jualannya ke atas buku, bertujuan menggalakkan lebih ramai rakyat membelinya, kata Menteri Kebudayaan hari ini.

    Cukai 25 peratus yang dikenakan negara Scandinavia itu ke atas buku pada masa ini adalah yang tertinggi di Eropah dan sangat berbeza dengan negara seperti Britain yang tidak mengenakan cukai jualan ke atas pembelian buku.

    “Kami perlu melakukan semua yang kami boleh untuk menyelesaikan isu membaca ini yang malangnya meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini,” Menteri Kebudayaan, Jakob Engel-Schmidt, berkata kepada agensi berita Ritzau, dengan mengumumkan rang undang-undang bajet kerajaan akan mencadangkan penghapusan cukai jualan ke atas buku.

    Langkah itu akan menelan belanja negara berjumlah330 juta kroner (AS$51 juta) setahun.

    Laporan pendidikan terbaharu daripada Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) menimbulkan kebimbangan di Denmark apabila mendapati 24 peratus remaja Denmark berusia 15 tahun tidak dapat memahami teks mudah, meningkat empat peratus dalam masa 10 tahun.

    Industri penerbitan Denmark telah menggesa pemotongan cukai, berkata dalam laporan Mei bahawa kerajaan perlu menjamin akses kepada buku fizikal untuk semua orang Denmark – sama ada kanak-kanak dan orang dewasa. – AFP

    Gambar bertarikh 22 Mac 2005 menunjukkan beberapa buah buku cerita dongeng oleh HC Andersen yang diterbitkan dalam pelbagai bahasa di muzium di Odense, Denmark. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda