COPENHAGEN, 12 MEI – Pemimpin Denmark, Greenland, Kepulauan Faroe, Iceland dan Norway akan bertemu hari ini untuk perbincangan mengenai keselamatan Artik, kata kerajaan Denmark, ketika Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, bersaing untuk menguasai Greenland.
Trump telah berulang kali berkata, AS memerlukan pulau Artik yang kaya dengan sumber yang terletak pada kedudukan strategik itu atas sebab keselamatan dan enggan menolak penggunaan kekerasan untuk mengamankannya.
Komen Trump telah mengakibatkan kebimbangan di kawasan Artik yang lain juga, termasuk Iceland dan kepulauan Svalbard, Norway. Kenyataan itu juga menimbulkan kemarahan para pemimpin Denmark dan Greenland, yang menegaskan pulau itu akan menentukan masa depannya sendiri dan AS tidak akan mendapatkan Greenland.
“Walaupun negara kita bertemu di bahagian yang berbeza di dunia, adalah wajar bahawa kita, dalam bulatan negara ini, bertemu untuk membincangkan situasi keselamatan semasa di Artik dan Atlantik Utara,” kata Perdana Menteri Denmark, Mette Frederiksen, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kelmarin.
Rundingan hari ini akan diadakan di Torshavn, ibu negara Kepulauan Faroe, dan dihadiri oleh Frederiksen serta Perdana Menteri Greenland, Jens-Frederik Nielsen, Perdana Menteri Iceland, Kristrun Frostadottir, dan Perdana Menteri Kepulauan Faroe, Aksel Johannesen.
Manakala Perdana Menteri Norway, Jonas Gahr Store, pula akan mengambil bahagian melalui pautan video. – AFP
