Tuesday, March 18, 2025
29.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Denmark impi kejayaan 1992

    BAKU, 2 JULAI – Denmark miliki impian untuk mengikuti jejak kejayaan skuad Denmark pada 1992 yang muncul juara Eropah namun yang menjadi halangan mereka untuk mara ke separuh akhir ketika ini adalah Republik Czech, yang pernah menyingkirkan mereka sebelum ini.

    Denmark berada dalam bahaya dan hampir terkeluar dari saingan kumpulan selepas tewas kepada Finland dan Belgium yang mana mereka turut dibayangi kejadian Christian Eriksen yang rebah di tengah padang.

    Namun mereka bangkit di hadapan penyokong di Copenhagen apabila membelasah Rusia 4-1 untuk menamatkan saingan di kedudukan kedua Kumpulan B sebelum berkunjung ke Amsterdam dan mengalahkan Wales 4-0 pada pusingan 16 akhir.

    Denmark belum pernah mara hingga ke separuh akhir di kejohanan utama sejak menjulang trofi kejuaraan pada 29 tahun lalu yang pada awalnya mereka gagal melayakkan diri namun mengambil alih tempat Yugoslavia.

    “Ia adalah kesempatan yang mungkin tidak akan kami dapat lagi,” kata jurulatih Kasper Hjulmand menjelang perlawanan menentang Czech di Baku.

    Jurulatih Denmark, Kasper Hjulmand semasa sesi latihan skuadnya di Helsingoer, Denmark, kelmarin. – AFP

    “Ia adalah kerja yang mengambil masa bertahun-tahun dan membabitkan ramai orang. Kami ingin memanfaatkan peluang ini.”

    Scandinavians dilihat semakin hari semakin kuat di kejohanan kali ini dan kemenangan di Azerbaijan akan membawa mereka mara ke penentuan empat terakhir untuk menempah pertemuan antara England atau Ukraine di Wembley.

    Pemain muda Mikkel Damsgaard yang menggantikan Eriksen semakin bersinar sejak diturunkan pada perlawanan kedua peringkat kumpulan apabila meledakkan gol pembukaan yang mengagumkan ketika menentang Rusia.

    “Perlawanan menentang Wales adalah yang terbesar dalam karier saya,” katanya.

    “Perlawanan seterusnya adalah perlawanan terbesar yang pernah saya sertai, jadi saya semakin menyeronokkan sepanjang masa,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda