Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Denmark rombak kabinet

    COPENHAGEN, 29 OGOS – Perdana Menteri Denmark, Mette Frederiksen hari ini melantik enam menteri baharu dalam rombakan besar-besaran kerajaan tiga partinya, menjadikan bilangan menteri kepada 25 orang — yang terbesar dalam tempoh 30 tahun.

    Salah seorang menteri akan mengetuai pejabat kerajaan baharu bagi menguruskan kesiapsiagaan kecemasan, perubahan iklim dan jenayah siber.

    “Dunia telah menjadi lebih bermasalah,” kata Frederiksen sambil mengumumkan bahawa Torsten Schack Pedersen akan bertanggungjawab ke atas kementerian baharu itu, selepas kabinet yang dirombak secara rasmi dipersembahkan kepada Raja Frederik X. Denmark kini menyertai Sweden untuk memiliki jabatan sedemikian.

    Selain pejabat kecemasan baharu, kerajaan kini mempunyai dua kementerian baharu yang lain, menjadikan jumlah keseluruhan 25, terbesar sejak Kabinet Perdana Menteri Sosial Demokrat, Poul Nyrup Rasmussen pada 1993-1994 yang mempunyai 24 menteri.

    Marie Bjerre meninggalkan tugasnya sebagai menteri pendigitalan dan kesaksamaan jantina, untuk menjadi menteri hal ehwal Kesatuan Eropah (EU), menjelang giliran Denmark sebagai presiden EU pada separuh kedua tahun 2025.

    Frederiksen ketika memperkenalkan menteri-menteri baharu di hadapan Istana Frederik VIII, Istana Amalienborg, di Copenhagen, kelmarin. – AP

    Jeppe Bruus, menteri percukaian yang akan keluar, telah dibawa masuk untuk mengetuai kementerian baharu, yang akan menyelaraskan dasar hijau Denmark.

    Negara Scandinavia itu mempunyai matlamat pengurangan pelepasan sebanyak 70 peratus menjelang 2030 dan mencapai sifar bersih menjelang 2050.

    Bruus digantikan oleh Rasmus Stoklund manakala jawatan Bjerre sebelum ini diberikan kepada Caroline Stage Olsen, yang menjadi menteri pendigitalan.

    Portfolio kesaksamaan jantina telah diserahkan kepada Menteri Alam Sekitar, Magnus Heunicke.

    Dalam salah satu kejutan besar, Datuk Bandar Copenhagen, Sophie Hæstorp Andersen dilantik sebagai menteri yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal sosial dan bukannya Pernille Rosenkrantz-Theil, yang meninggalkan kerajaan. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda