BAKU, 4 JULAI – Denmark terus cemerlang dengan sokongan daripada peminat, kata jurulatih Kasper Hjulmand selepas kempen Euro 2020 yang luar biasa diteruskan dengan kemenangan 2-1 di pusingan suku akhir menentang Republik Czech di Baku.
Gol pada separuh masa pertama yang dijaringkan oleh Thomas Delaney dan Kasper Dolberg sudah cukup untuk pasukan kendalian Hjulmand mara ke pusingan empat terakhir dan akan bertemu England di Wembley meskipun Republik Czech bangkit pada separuh masa kedua menerusi Patrik Schick yang meledak gol kelima dalam kejohanan. Pasukan Denmark kini menjaringkan 10 gol dan memenangi kesemua tiga perlawanan setelah memulakan aksi di kejohanan dengan dua kekalahan, yang pertama ketika kejadian mengejutkan apabila Christian Eriksen mengalami serangan jantung di atas padang.
“Kami memenangi perlawanan dengan selesa 4-1 dan 4-0, tetapi ini juga cara memenangi perlawanan bola sepak,” kata Hjulmand. “Saya sangat bangga dapat mara ke pusingan separuh akhir bersama pasukan ini. Sokongan peminat yang diberikan kepada kami adalah sangat penting.
Kami sangat bangga untuk memberikan kembali sesuatu kepada Denmark dan mereka yang menyaksikan kami di rumah.” Tiga minggu selepas kejadian serangan jantung Eriksen, Denmark mengimpikan untuk mengulangi kegemilangan 1992 apabila mereka memenangi Kejohanan Eropah walaupun tidak memasuki pusingan kelayakan.
Ketika itu Yugoslavia terpaksa menarik diri akibat peperangan dan memberikan Denmark peluang kedua dan mereka beraksi seperti sebuah pasukan yang mendapat inspirasi dari segi emosi kejadian serangan jantung Eriksen dan pemulihannya. – AFP