HARROGATE, 26 SEPT – Rohan Dennis dari Australia mengekalkan gelarannya bagi acara uji masa Kejohanan Basikal Dunia, selepas dengan mudah mengatasi kesemua pesaingnya di Yorkshire.
Dennis kelihatannya terlalu hebat buat pesaing lain apabila melintasi garisan penamat dengan catatan masa satu minit dan lapan saat di depan pelumba remaja Belgium, Remco Evenepoel, manakala Filippo Ganna dari Itali meraih pingat gangsa.
“Ia adalah hari yang sempurna,” kata Dennis kepada BBC. “Ramai orang yang perlu saya ucapkan terima kasih dan ia hebat untuk membalas budi mereka dengan kemenangan ini.”
Kemenangan menjadi lebih manis buat Dennis tahun ini selepas mengharungi musim yang sukar.
Pelumba berusia 29 tahun itu secara kontroversi menarik diri pada permulaan pendakian klasik peringkat 12 Tour de France pada Julai, terlepas saingan uji masa di Tour itu pada hari berikutnya. Dennis dilaporkan tidak gembira dengan basikalnya bagi uji masa di Tour, namun sikapnya telah mengejutkan pasukannya, Bahrai Merida, yang kemudian mengetepikannya daripada pasukan bagi Vuelta a Espana.
“Ia tahun yang sukar, banyak cerita sejak Tour de France mengenai apa yang saya lakukan, jadi ia sesuatu yang istimewa untuk menang,” tambah Dennis.
“Untuk hadir di sini dan mempertahankan gelaran ini menunjukkan saya masih di sini untuk berlumba, masih di sini untuk menang dan masih banyak yang dapat saya berikan untuk sukan ini.”
Juara dunia empat kali, Tony Martin hanya mampu menamatkan perlumbaan pada kedudukan kesembilan, sementara pemenang Vuelta, Primoz Roglic di kedudukan ke-12 meskipun memulakan perlumbaan tiga minit lebih awal berbanding Dennis. – AFP
