Saturday, July 12, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Depay cemerlang bersama Belanda

    ROTTERDAM, BELANDA, 12 OKT – Memphis Depay berjaya meledak dua gol dan mencatat dua assist namun terlepas menyempurnakan sepakan penalti ketika Belanda membelasah Gibraltar 6-0 untuk kekal di kedudukan teratas Kumpulan G dalam kelayakan Piala Dunia, semalam.

    Norway, yang menduduki tangga kedua, bermain tanpa penyerang Erling Braut Haaland kerana kecederaan, berjaya menewaskan Montenegro 2-0 untuk mengekalkan jurang dua mata mengejar Belanda, manakala Burak Yilmaz menjaringkan gol kemenangan melalui tendangan penalti pada minit akhir separuh masa kedua ketika Turki membenam Latvia 2-1 di Riga.

    Malam yang cukup cemerlang buat Depay di Stadium De Kuip, Rotterdam, menentang salah sebuah pasukan kerdil di dunia. Gol pertamanya merupakan gol ke-13 pada tahun ini bersama pasukan The Oranje, memecah rekod Belanda iaitu 12 jaringan dalam tempoh setahun yang dicipta oleh Patrick Kluivert.

    Depay menjaringkan gol pada minit ke-21 selepas menerima hantaran daripada Davy Klaassen, dua minit selepas penjaga gol Gibraltar, Bradley Banda membuat penampilan sulung dengan menyelamatkan sepakan penalti pertama perlawanan tersebut. Depay tidak mengulangi kesilapan sepakan penalti kedua untuk meletakkan kedudukan 3-0 pada separuh masa.

    Ketua pasukan, Virgil van Dijk membuka jaringan seawal minit kesembilan melalui tandukan hasil sepakan sudut Depay, gol pertama pemain pertahanan itu sejak kembali dari kecederaan lutut musim lalu.

    “Saya sangat gembira dapat menjaringkan gol setelah sekian lama,” Van Dijk memberitahu NOS.

    Pemain pertahanan sayap, Denzel Dumfries menjadikan kedudukan 4-0 tiga minit selepas separuh masa kedua bersambung dan pemain gantian Arnaut Danjuma, berjaya menjaringkan gol buat kali pertama sejak dua penampilan di peringkat antarabangsa pada 2018.

    Donyell Malen melengkapkan ke-menangan pada minit ke-86. – AP

    Reaksi Memphis Depay meraikan gol bersama ketua pasukan Belanda, Virgil van Dijk selepas membantu pasukannya membenam Gibraltar, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda