KYIV, 1 APRIL – Rusia mengesahkan dua helikopter tentera milik Ukraine menyerang depoh bahan api di bandar Belgorod, kata gabenor tempatan hari ini.
“Terdapat kebakaran di depoh petrol disebabkan serangan udara dilancarkan dua helikopter tentera Ukraine, yang memasuki wilayah Rusia pada altitud rendah,” tulis Vyacheslav Gladkov di laman Telegram.
Dua pekerja di depoh cedera akibat kebakaran, manakala penduduk dipindahkan di bandar berhampiran sempadan Ukraine, kata beliau. Kira-kira 170 kakitangan cuba memadamkan kebakaran, menurut kementerian kecemasan Rusia.
Mereka mendakwa ia adalah serangan udara pertama Ukraine di bumi Rusia sejak Moscow menyerang negara jirannya itu pada akhir Februari lalu.
Imej video serangan yang tersebar dalam talian menunjukkan beberapa peluru berpandu ditembak dari altitud rendah diikuti dengan letupan.
Sementara itu, firma minyak Rusia Rosneft, yang memiliki depoh bahan api terbabit dalam kenyataan berasingan berkata, tiada sesiapa yang cedera dalam kebakaran berkenaan, namun tidak mendedahkan lebih lanjut mengenai kejadian itu.
Sebelum ini, sebuah depoh peluru berhampiran Belgorod terbakar Rabu lalu, menyebabkan beberapa siri letupan.
Gladkov berkata pihak berkuasa sedang menunggu kenyataan Kementerian Pertahanan Rusia untuk mengenal pasti punca kejadian. – AFP
