Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dera: Dua guru taska dan pemilik dihadap ke mahkamah

    IPOH, 14 JULAI – Dua guru taska didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, masing-masing atas tiga pertuduhan mendera kanak-kanak dalam jagaan mereka di sebuah taska di Meru, awal bulan ini.

    Noor Shafina Abdul Khair, 26, dan Wan Suhaila Mior Khir, 32, mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan itu.

    Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Noor Shafina didakwa melakukan penganiayaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun dengan cara menindan badan mangsa, menampar pahanya dengan kuat, menarik rambut serta menampar pipi mangsa pada 6 Julai lepas di taska tersebut.

    Dia turut didakwa menganiaya seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dengan memukul belakang badan dan mencubit pipi mangsa.

    Timbalan Pendakwa Raya Qurratu’aini Khalifah tidak menawarkan jaminan namun peguam Mohammad Syarifuddin Zaid memohon jaminan munasabah atas alasan anak guamnya akan memberi kerjasama penuh dalam kes itu.

    Hakim Ainul Shahrin Mohamad menetapkan RM7,000 sebagai jaminan dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan dan menetapkan16 Ogos untuk sebutan semula kes.

    Wan Suhaila pula dituduh menganiaya tiga kanak-kanak perempuan berumur dua tahun sehingga menyebabkan kecederaan ke atas mereka di taska sama pada 4 dan 6 Julai lepas.

    Mahkamah membenarkan wanita itu yang diwakili peguam Raja Mohd Iskandar Zulkharnian Raja Abdul Malek diikat jamin berjumlah RM8,000 terhadap ketiga-tiga pertuduhan.

    Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.- Bernama

    Gambar Freepik

     

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda