JOHOR BAHRU, 29 DIS – Punca kematian kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dipercayai mangsa dera di Senggarang, Batu Pahat adalah disebabkan hentakan objek keras dan tumpul di kepala.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata punca kematian itu diperoleh hasil daripada proses bedah siasat yang selesai dijalankan semalam di Hospital Sultan Ismail (HSI).
“Hasil bedah siasat dibuat secara teliti dan pakar HSI mendapati bahawa punca kematian adalah blunt trauma to the head iaitu hentakan benda keras.
“Walau bagaimanapun terdapat kesan calar, kesan gigitan.. insya-Allah siasatan kita teruskan untuk dapatkan maklumat hasil bedah siasat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Inspektor KOR Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (SUKSIS) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bagi 2022 di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Beliau berkata 10 individu termasuk ahli keluarga mangsa juga sudah dipanggil untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan. – Bernama