Dera: pembantu rumah didakwa

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MEI – Seorang pembantu rumah warga Indonesia yang berdepan tuduhan mendera budak lelaki berusia tiga tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret, hari ini.

Dalam sebutan, Timbalan Pendakwa Raya, Raihan Nabilah binti Haji Ahmad Ghazali memaklumkan mahkamah bahawa laporan perubatan mangsa telahpun diterima, dan membuat permohonan untuk kes LismaDeti, 41, dipindahkan ke Mahkamah Perantaraan.

Kertas pertuduhan menyebut, tertuduh didakwa menekan muka mangsa ke tilam, memukul mukanya dan menghumbannya ke tilam dalam kejadian yang didakwa berlaku pada pagi 18 Mei 2020 di rumah di Kampung Perpindahan Rimba.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang dihukum di bawah Seksyen 28 (1) (a) Akta Orang Muda dan Kanak-kanak, Penggal 219 yang membawa denda tidak melebihi $20,000; penjara tidak melebihi 10 tahun dengan atau tanpa sebatan tidak melebihi 10 sebatan atau kedua-duanya.

Majistret Kanan Pengiran Shahyzul Khairuddien bin Abdul Rahman membenarkan kes dipindahkan, dan tarikh sebutan akan ditetapkan kemudian.