Saturday, July 12, 2025
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Derita ayah tidak dapat cari ubat anak

    SANAA – Dalam keadaan dunia global ketika ini yang masih di bawah ancaman COVID-19, banyak negara yang cuba memulihkan keadaan negara masing-masing setelah ada yang mula memansuhkan perintah pengetatan dan mengurangkan langkah-langkah penjarakan sosial.

    Akibat daripada COVID-19 ini telah banyak meruntuhkan sistem negara dari segi kesihatan, ekonomi dan sebagainya. Apa lagi bagi negara-negara yang sudah menderita akibat kemunduran disebabkan peperangan dan sekatan yang memerlukan bantuan dari negara luar amat terkesan dengan impak daripada wabak berkenaan. Berikutan dengan kekurangan ubat-ubatan dan bantuan kemanusiaan, berjuta-juta kanak-kanak Yaman yang kelaparan dalam peperangan dan sekatan semakin menderita.

    Sayyaf Abdulsamad, seorang ayah, berusaha menyelamatkan nyawa anak perempuannya yang masih kecil. Setelah ubat-ubatan habis di hospital utara Amran, dia membawanya ke hospital awam di pusat ibu kota Sanaa.

    Anak damit yang kekurangan zat makanan itu tiba-tiba tidak sedarkan diri di hospital Al-Sabeen awal minggu ini.

    “Anak perempuan saya menderita kekurangan protein,” kata ayah kepada media. “Pada mulanya, saya membawanya ke beberapa buah hospital di Amran, tetapi mereka tidak mempunyai ubat, kemudian saya membawanya ke Sanaa ke wad kekurangan zat makanan di Hospital Al-Sabeen.”

    Gambar bertarikh 27 Jun 2020, menunjukkan seorang kanak-kanak kekurangan zat mendapat rawatan di wad kekurangan zat makanan di rumah sakit Al-Sabeen di Sanaa, Yaman. – Xinhua
    Seorang jururawat memeriksa kanak-kanak kekurangan zat. – Xinhua
    Seorang ibu memegang kaki anaknya yang mengalami kekurangan zat. – Xinhua
    Gambar menunjukkan keadaan kanak-kanak kekurangan zat yang berada di dalam inkubator di rumah sakit Al-Sabeen. – Xinhua
    Gambar bertarikh 27 Jun 2020, menunjukkan seorang doktor memberikan rawatan kepada kanak-kanak yang terbaring di atas katil. – Xinhua

    Doktornya mengatakan di wad kekurangan zat makanan yang ramai bahawa dia dan banyak kanak-kanak lain tidak dapat bertahan hidup kerana krisis ubat-ubatan yang belum pernah terjadi sebelumnya.

    “Kami telah menerima pemberitahuan dari pihak pentadbiran rumah sakit bahawa mungkin sejak awal Julai bantuan dari Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) akan dihentikan. Ini akan menimbulkan masalah besar kepada keluarga pesakit kerana mereka harus membayar bayaran hospital,” kata doktor Abdul Rahman Al-Rumayma kepada media di wad kekurangan zat makanan Al-Sabeen.

    “Di bawah keadaan peperangan dan sekatan, ini adalah masalah yang membebankan warga negara, dan kami menyeru masyarakat antarabangsa dan organisasi kemanusiaan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk melaksanakan tugas kemanusiaan mereka di Yaman dalam situasi kritikal ini, terutama terhadap para ibu dan kanak-kanak,” jelasnya.

    Peperangan di Yaman meletus pada akhir tahun 2014 ketika kumpulan Houthi yang disokong oleh Iran merampas sebahagian besar wilayah utara negara itu dan memaksa pemerintah Presiden Abd-Rabbu Mansour Hadi yang disokong Arab Saudi keluar dari Sanaa. Gabungan campur tangan tentera pimpinan Arab Saudi dalam konflik Yaman pada awal tshun 2015 untuk menyokong pemerintahan Hadi.

    Lebih dari lima tahun peperangan dan sekatan ekonomi telah memusnahkan industri ekonomi, pertanian dan kesihatan Yaman, mencetuskan apa yang digambarkan oleh PBB sebagai krisis kemanusiaan terburuk di dunia yang menyebabkan hampir 80 peratus penduduk Yaman bergantung sepenuhnya kepada bantuan kemanusiaan antarabangsa untuk terus hidup.

    Agensi bantuan PBB telah menganggarkan bahawa lebih daripada 20 juta orang Yaman berada diambang kebuluran.

    Bulan lalu, agensi bantuan PBB mengumpulkan AS$1.35 bilion dolar dari 30 negara penderma, lebih sedikit daripada separuh bantuan kemanusiaan AS$2.41 bilion dolar yang diperlukan untuk Yaman, pada persidangan penderma yang dihoskan oleh Arab Saudi.

    Penurunan dana bantuan kemanusiaan yang besar telah mencetuskan kemerosotan bantuan perubatan kepada jutaan kanak-kanak Yaman.

    “Sekiranya kita tidak menerima dana segera, kanak-kanak akan berada ke ambang kelaparan dan banyak yang akan meninggal dunia,” kata Sara Beysolow Nyanti, Wakil UNICEF ke Yaman, dalam satu kenyataan.

    “Perhatian dunia tertumpu pada pandemik COVID-19, saya bimbang anak-anak Yaman akan dilupakan,” kata Nyanti.

    Perang sedang menuju ke tahun keenam tanpa akhir, tetapi menuju kehancuran yang lebih banyak. Juga, di wad kekurangan zat makanan di hospital Al-Sabeen, Naji Mohammed al-Thobani melihat anaknya yang masih kecil bernafas dengan sukar.

    “Perang ini, sekatan dan penghentian pembayaran gaji selama bertahun-tahun telah meningkatkan penderitaan kami… Saya merasa sakit ketika tidak dapat mencari ubat untuk anak saya,” kata ayah itu. – Xinhua

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda