Saturday, July 26, 2025
32 C
Brunei

    Berita Terkini

    Derita kakak

    Aku tak tahu nak mula dari mana, tapi sejak kecil, kakak aku adalah segalanya bagi aku. Dia yang jaga aku masa mak sibuk kerja.

    Tapi sekarang, aku tengok hidup dia hancur perlahan-lahan… dan dia tak nak lepaskan diri pun.

    Kakak aku kahwin masa umur dia 25. Masa tu, semua orang nampak suami dia macam lelaki sempurna—kereta besar, kerja elok, pandai ambil hati orang tua.

    Tapi bila dah duduk serumah, barulah wajah sebenar keluar. Dia panas baran. Keras tangan. Bila marah, dia jerit, baling barang, malah pernah tampar kakak aku depan anak.

    Pernah aku tanya kenapa tak keluar je dari hidup yang menyakitkan tu. Dia tunduk, senyum pahit.

    Gambar Freepik

    Katanya dia tak nak anak-anak hidup tanpa ayah. Dia takut jadi bahan mulut orang.

    Dia takut sunyi. Aku faham ketakutan tu, tapi aku tak faham kenapa dia sanggup abaikan diri sendiri demi semua ketakutan tu.

    Anak-anak dia pun makin membesar. Mereka nampak. Mereka dengar.

    Aku takut mereka belajar bahawa cinta itu bermaksud menahan sakit. Aku tahu kakak aku sayang anak-anak dia, tapi sayang tu tak sepatutnya berbalut luka.

    Aku rindu kakak aku yang dulu. Yang suka menyanyi masa masak, yang ketawa kuat bila tengok drama Korea.

    Sekarang, dia diam. Banyak termenung. Bila senyum pun, macam senyum yang dipaksa keluar.

    Aku tak tahu apa lagi aku boleh buat selain ada untuk dia. Tunggu masa dia kuat untuk lepaskan semua.

    Kadang-kadang bertahan bukan sebab cinta, tapi sebab takut.

    Tapi aku harap satu hari nanti, dia pilih untuk selamatkan diri sendiri.

    Sebab dia layak untuk bahagia. Dia layak untuk hidup, bukan cuma bertahan.

    Zahra

    NASIHAT DANG MP

    Terima kasih Zahra kerana menulis untuk membuat luahan yang sangat menyentuh perasaan dan penuh kasih sayang antara adik beradik. Awda nampak luka yang dia sembunyikan, dan awda tetap berada di sisinya walaupun belum pasti apa yang boleh dibuat. Itu bukanlah satu perkara kecil malah itu menunjukkan awda seorang yang benar-benar mengambil berat terhadaptnya.

    Apa yang kakak awda lalui bukan mudah. Ramai wanita terperangkap dalam perkahwinan toksik bukan kerana lemah, tapi kerana terlalu takut akan mengalami banyak kehilangan seperti anak-anak, maruah, sokongan keluarga.

    Namun dia mungkin belum sedar bahawa ketakutannya sekarang sedang mengorbankan bukan saja dirinya, tapi juga masa depan anak-anaknya. Anak-anak yang membesar dalam suasana penuh ketegangan seperti yang diceritakan akan belajar bahawa cinta itu menyakitkan, bahawa menjerit dan memukul itu adalah satu perbuatan biasa dalam keluarga.

    Kehadiran awda yang sentiasa ada dalam hidupnya sudah pasti satu tindakan yang sangat penting. Teruskan menjadi ruang yang selamat dan beri sokongan yang berterusan untuk kakak awda. Jangan berhenti bercakap tentang nilai dirinya, walau dia belum bersedia mendengarnya sepenuhnya. Dan apabila tiba masa dia cukup kuat untuk bertindak— kehadiran awda akan jadi sebab dia mampu melangkah.

    Dalam masa yang sama, cuba dapatkan bantuan pihak yang boleh dipercayai seperti kaunseling, ahli keluarga lain ataupun pihak berkuasa sekiranya perlu. Sebagai seorang manusia, kakak awda juga berhak mendapatkan perlindungan dan keselamatan daripada keganasan rumah tangga.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda