SYDNEY, 11 MEI – Seorang lelaki muda di Australia berusia 22 tahun dilaporkan mengalami penyakit misteri yang menyebabkan deria suhunya terbalik — di mana tubuhnya berasa panas apabila tersentuh benda sejuk, dan berasa sejuk apabila menyentuh sesuatu yang panas.
Memetik laporan Oddity Central, Aidan McManus mula menghadapi masalah kesihatan itu ketika berusia 17 tahun, sewaktu berada di tahun akhir persekolahan.
Pada awalnya, dia mengadu kepada ibunya bahawa kakinya terasa ‘berdenyut dan kebas’.
Lama-kelamaan, kaki Aidan turut membengkak dan dia segera mendapatkan rawatan hospital.
Walau bagaimanapun, ubat yang diberikan untuk menangani masalah pengekalan cecair tidak membantu keadaannya.
Keadaannya bertambah buruk apabila aktiviti mudah seperti berjalan turut menjadi menyakitkan — seakan-akan memijak duri tajam.

Aidan kemudian disahkan menghidap sindrom iritasi usus (IBS) pasca-viral, yang semakin merumitkan keadaan kesihatannya.
Walaupun berdepan masalah kesihatan serius, Aidan berjaya menamatkan persekolahan.
Namun selepas itu, dia mula mengalami gangguan sensasi pelik pada tangannya.
Apabila menyentuh sesuatu yang sejuk, tangannya terasa seperti terbakar, manakala benda panas pula terasa sangat sejuk.
“Kami diberitahu bahawa keadaan ini mungkin akan merebak ke tangan Aidan,” kata Angela McManus, ibu Aidan, kepada stesen 9News.
“Kami menyangka ia mungkin akan berlaku dalam masa 10 atau 15 tahun akan datang, tetapi satu malam Aidan datang kepada saya dan berkata, “Ibu, saya pegang tin Coke dan tangan saya terasa seperti terbakar’.
Kalau dia pegang benda sejuk, tangannya rasa panas terbakar.
Kalau dia sentuh benda panas, terasa seperti membeku.
Sejak bertahun-tahun lalu, pakar neurologi telah menjalankan pelbagai ujian untuk mencari punca penyakit Aidan termasuk prosedur fungsi lumbar dan biopsi saraf di kaki.
Namun, tiada jawapan yang diperoleh.
Akhirnya, seorang doktor mengesahkan bahawa Aidan menghidap gangguan saraf periferi jenis aksonal, yang menjejaskan keupayaan sel saraf untuk menghantar isyarat ke seluruh tubuh.
“Atas sebab yang jelas, dia tidak boleh memasak. Dia perlu sangat berhati-hati. Bila saya hidangkan makanan, saya perlu beritahu, ‘Ini sangat panas atau sangat sejuk’,” kata ibunya.
Malangnya, permohonan Aidan kepada Agensi Insurans Kurang Upaya Kebangsaan (NDIA) di Australia telah ditolak atas alasan dia belum ‘mencuba semua pilihan rawatan yang mungkin’.
Namun, pakar neurologi yang merawatnya menegaskan bahawa Aidan menghidap keadaan neurologi progresif yang tiada rawatan khusus setakat ini.
“Saya sangat menyokong agar dia layak menerima bantuan NDIS (Skim Insurans Kurang Upaya Kebangsaan) kerana dia menghidap kecacatan yang tidak dapat disembuhkan dan akan terus memburuk,” menurut surat perubatan pakar tersebut kepada agensi berkaitan. – Agensi