KUCHING, 11 JAN – Kisah meruntun jiwa Mohamad Syafiq Mohamad Ali Hanaffiah, 34, anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang menderita akibat kesan kebakaran tahap tiga dilaporkan Bernama baru-baru ini mendapat perhatian Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Pemimpin utama Sarawak itu hari ini menghulurkan bantuan kewangan RM50,000 yang disampaikan Ketua Setiausaha Politiknya, Fazruddin Abdul Rahman bagi meringankan beban wira APM itu untuk menjalani proses pemulihannya.
“Dua hari lepas, Premier (Abang Johari) jumpa saya dan beliau arahkan saya untuk beri sumbangan peribadi beliau kepada saudara Mohammad Syafiq atas keberaniannya berusaha menyelamatkan mangsa kebakaran tanpa memikirkan keselamatan diri,” kata
Fazruddin kepada pemberita selepas melawat Mohamad Syafiq di kediamannya.
Beliau berkata Abang Johari amat prihatin dengan keadaan yang menimpa keluarga Mohamad Syafiq memandangkan adiknya juga memerlukan bantuan perubatan secara berkala. – Bernama
