Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JUN – Bagi meluahkan rasa prihatin negara ini terhadap kejadian gempa bumi yang telah melanda Republik Turkiye, satu majlis penyerahan derma Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Republik Turkiye telah diadakan kelmarin di Ibu Pejabat Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) di Ankara, Republik Turkiye.
Pada majlis itu mock cheque berjumlah AS$523,980.66 telah sempurna diserahkan untuk tabung berkenaan sekali gus menandakan pemindahan derma melalui tabung kemanusiaan tersebut.
Majlis penyerahan derma telah disampaikan oleh Duta Besar Negara Brunei Darussalam ke Republik Turkiye, Puan Yang Terutama Noni Zurainah Ismi, kepada Presiden AFAD, Okay Memis.
Turut hadir bagi menyaksikan penyerahan derma tersebut ialah wakil dari kedutaan negara ini di Ankara serta pihak dari AFAD. Derma berkenaan akan digunakan untuk membeli climate-control machines bagi rumah sementara untuk mangsa-mangsa gempa bumi di Republik Turkiye.
Jawatankuasa Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Republik Turkiye dan Republik Arab Syria ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penderma di negara ini atas keprihatinan dan derma yang telah dihulurkan kepada tabung berkenaan.