KUALA LUMPUR – Selepas 356 kali menderma darah, Lum Kien Seng, 70, akhirnya terpaksa akur mengucapkan selamat tinggal kepada rutin tersebut atas faktor usia.
Kali terakhir menderma pada 2 Disember lepas, bekas pendidik itu melahirkan rasa bangga kerana berpeluang menabur bakti membantu menyelamatkan nyawa pelbagai bangsa, sejak 34 tahun lepas.
“Kalau ikutkan hati, saya mahu terus menderma. Tapi, apa boleh buat, dah cukup waktunya apabila had usia maksimum untuk menderma darah adalah 70 tahun. Lepas ini, saya hanya berehat di rumah sambil mendengar lagu dan menanam bunga.
“Saya galakkan mereka yang mempunyai tubuh badan sihat, pergilah menderma darah. Jangan takut jarum, rasanya macam kena gigit semut sahaja. Seeloknya, tenangkan diri dan jika terlalu takut, alihkan perhatian,” katanya kepada Bernama.
Mengimbas semula, beliau mula aktif menderma sejak berusia 36 tahun pada 1988 selepas melihat sendiri bapanya, mendiang Lum Yong Swee mengalami kecederaan sehingga memerlukan bekalan darah. – Bernama


