Oleh Nurdiyanah R. –
TUTONG, 22 MEI – Amalan menderma darah merupakan satu amalan kebajikan yang amat mulia kerana ia bukan sahaja baik untuk kesihatan tetapi juga dapat menolong menyelamatkan nyawa golongan masyarakat yang memerlukan, di samping menjadi dorongan kepada individu lainnya untuk melakukan hal kebajikan yang sama.
Perkara tersebut antara yang dikongsikan oleh salah seorang penderma darah, Awang Mohamad Najib bin Haji Awang Mohamad Iskandar, semasa berkesempatan ditemui Media Permata semasa kempen derma darah anjuran Tabung Darah, Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah (PMMPMHAMB), petang tadi.
Beliau yang merupakan seorang pegawai perantis di Unit Keugamaan, Hospital PMMPMHAMB, Tutong itu turut mengongsikan pengalaman menderma darah di mana ini merupakan kali kedua dan beliau juga berhasrat untuk meneruskan amalan murni ini pada masa akan datang demi sama-sama membantu bekalan darah di negara ini sentiasa mencukupi lebih-lebih bagi keperluan berlakunya kecemasan.
Sementara itu, lebih 10 pain darah berjaya dikumpulkan semasa kempen derma darah berkenaan dijalankan selama dua hari yang berakhir hari ini.
Turut berkesempatan ditemu bual oleh pihak media ialah Pegawai Saintifik Makmal, Hospital PMMPMHAMB, Tutong, Awang Zaki bin Amat Daud antaranya menjelaskan kempen derma darah sedemikian merupakan aktiviti bulanan yang diungkayahkan oleh tabung darah hospital tersebut sebagai usaha berterusan menambah bekalan stok darah dan sentiasa mencukupi bagi insan-insan yang memerlukan di negara ini.
Dalam hubungan itu, beliau menyeru orang ramai khususnya golongan muda untuk berani tampil ke hadapan menderma darah dan menjadi ‘wira’ kepada yang memerlukan bantuan.
Di samping itu, Awang Zaki turut mengingatkan kepada individu yang ingin menderma darah supaya memastikan mereka berada dalam keadaan sihat, tidur yang cukup sebelum menderma dan makan atau mengambil sarapan sebelum menderma. Selain menyarankan untuk mengenakan pakaian yang bersesuaian bagi memudahkan proses pendermaan darah dilakukan dan dilarang memakai pakaian yang ketat di lengan.