Saturday, April 27, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Deruan angin, ombak pantai tenangi jiwa

    Oleh Nurdiyanah R.

    Segar rasanya apabila berjalan berkaki ayam merasakan pasir pantai yang halus berkilauan umpama mutiara di dasar laut disertai batu-batu beraneka warna dan kulit-kulit kerang yang bertaburan seakan-akan menjadi hiasan dan penyeri suasana tepi pantai.

    Pohon-pohon yang tumbuh di tepinya bagai menari-nari apabila ditiup angin. Sekejap ke kanan sekejap ke kiri seolah-olah mengikuti rentak irama alami. Bayu yang datang dari laut membawa ombak yang menghempas dan membasahi tepian pantai, menghasilkan buih-buih yang memutih.

    Begitulah ketenangan yang dapat kita rasai apabila berada di pantai yang merupakan salah satu alam semula jadi terindah ciptaan Illahi, terasa seakan jiwa raga kita menjadi satu.

    Bersantai sambil erat jalinan persahabatan

    Lebih menyeronokkan lagi sambil menikmati indahnya suasana pantai dengan tiupan angin sepoi-sepoi bahasa, aktiviti barbeku juga menjadi salah satu kelaziman yang dilakukan oleh sebahagian para pencinta aktiviti santai.

    Meskipun panas terik menyelubungi persekitaran, namun segalanya seolah-olah tidak terasa apabila dapat berkumpul bersama sahabat handai yang sudah lama meninggalkan zaman persekolahan. Begitulah yang dikongsikan oleh salah seorang belia, Awang Muhammad Zul Arief yang mengadakan acara barbeku bersama beberapa orang sahabatnya di kawasan pondok peranginan di Pantai Persiaran Pengkalan Pinang, Kampung Penanjong, Daerah Tutong, baru-baru ini.

    Pemandangan pantai yang indah begitu menenangkan jiwa.
    Jangan sesekali berenang jika tiada pengawasan yang khusus.
    Lari sebentar daripada kesibukan harian sambil mencari ketenangan dengan mendengar deruan angin pantai.
    Antara aktiviti yang lazim diadakan ketika berada di pantai ialah dengan mengadakan barbeku.
    Awang Muhammad Zul Arief bersama rakan-rakannya semasa mengadakan barbeku di Pantai Persiaran Pengkalan Pinang, Tutong, baru-baru ini.

    “Hampir beberapa tahun tidak bersua, masing-masing dengan hala tuju sendiri. Dengan adanya aktiviti sebegini sememangnya suatu yang ditunggu-tunggu lebih-lebih lagi semasa penghujung waktu cuti persekolahan ini,” katanya yang ingin berehat seketika daripada kesibukan harian.

    Budaya pembersih tanggungjawab bersama

    Salah seorang sahabat yang mengikuti aktiviti riadah itu, Awang Muhammad Shahrol Amirol sempat berkongsi perasaan seronok sambil menikmati kawasan pantai yang dipenuhi dengan pemandangan indah yang pastinya tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata sepenuhnya.

    “Bukan hanya kepuasan riadah yang diperoleh, bahkan aktiviti ini juga sememangnya mampu mewujudkan kenangan manis yang tidak dapat dilupakan,” katanya.

    Beliau juga sempat mengingatkan antara satu sama lain supaya sentiasa mengamalkan budaya pembersih di mana-mana sahaja kita berada.

    “Janganlah membuang sampah di merata-rata tempat. Begitu juga kemudahan-kemudahan awam perlu digunakan sebaik-baiknya. Semua itu menjadi tanggungjawab kita untuk sama-sama memelihara kelestarian alam semula jadi,” katanya.

    Sentiasa beringat-ingat

    Pada masa yang sama, Awang Muhammad Fahmi juga ingin berkongsi pandangan bahawa apabila kita meluangkan masa bersama insan-insan tersayang, kita juga perlu menitik beratkan hal ehwal keselamatan.

    “Jangan sesekali berenang jika ombak deras, lebih-lebih lagi jika tiada pengawasan khusus.

    Ingin berseronok itu tidak salah, namun kita perlu sentiasa beringat-ingat untuk diri sendiri dan orang-orang di sekeliling kita. Maklumlah, malang tidak berbau,” katanya semasa mengakhiri temu bual bersama penulis, baru-baru ini.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...