KAZAN, Rusia, 1 Julai – Jurulatih Didier Deschamps menegaskan Perancis berjaya menjawab kritikan dengan persembahan ‘hebat’ untuk mara ke suku akhir Piala Dunia selepas mengatasi Argentina 4-3, sebentar tadi.
Les Bleus bergelut dengan persembahan kurang meyakinkan sepanjang aksi kumpulan di Rusia dan Deschamps berkata, beliau amat gembira kerana akhirnya pemain dapat menepati jangkaan.
“Kami perlu bertindak balas (kepada pengkritik) dan kami menjawabnya dengan baik hari ini,” katanya.
“Sentiasa ada kritikan. Tapi kami perlu membuktikannya di tengah padang dengan persembahan berkualiti dan baik yang kami lakukannya malam ini. Kami memastikan Argentina merana.

“Ia adalah perlawanan yang mendebarkan. Jelas sekali ada beberapa kesilapan,” katanya kepada TF1.
“Kami bermula perlahan apabila ketinggalan 2-1 tapi kami tahu bagaimana untuk bertindak balas. Kami berjaya memastikan semuanya dilakukan dengan mudah pada hujung permainan.
“Ia amat menyeronokkan. Saya gembira buat pemain yang berjaya melayakkan diri ke suku akhir. Seperti yang saya katakan sebelum perlawanan, kami sudah membuat persiapan berbulan-bulan untuk bermain dalam perlawanan ini.” – AFP