Oleh Nurdiyanah R.
Walaupun Negara Brunei Darussalam sebuah negara yang kecil, namun ia mempunyai banyak produk dan lokasi tarikan pelancong, sama ada wujud secara semula jadi atau dibina oleh masyarakat setempat.
Begitu halnya juga apabila penulis menjejakkan kaki ke Daerah Tutong, baru-baru ini, dapat dilihat daerah berkenaan terus membangun bak cendawan tumbuh selepas hujan bukan sahaja dari aspek pembangunan dan infrastruktur seperti bangunan dan jalan raya malah merangkumi pelbagai kemudahan yang lain.
Bahkan menariknya, Daerah Tutong juga memiliki tempat-tempat yang berupaya menjadi penyejuk mata orang ramai yang gemar jalan-jalan dalam negara bersama ahli keluarga mahu pun sahabat-handai. Hakikatnya setiap keindahan dan ketenangan yang ada pada tempat-tempat menarik itu setentunya menyimpan pelbagai khazanah yang begitu berharga dan perlu dipelihara daripada satu generasi ke generasi seterusnya.
Rumah ala kampung gamit nostalgia lalu
Terletak di Kampung Penapar, Tanjong Maya, Daerah Tutong, wujudnya salah satu tarikan pelancong berkonsepkan rumah ala kampung yang dikenali dengan Lamin Kampung yang diusahakan oleh Haji Samihon bin Haji Kechi.
‘Lamin’ berasal daripada Bahasa Tutong yang bermaksud rumah atau kediaman di mana beliau mengekalkan suasana ciri-ciri rumah ala kampung atau desa dengan diserikan persekitarannya dengan pelbagai tanaman dan tumbuh-tumbuhan penuh kehijauan. Lebih-lebih lagi dengan adanya bunyi-bunyi siulan burung-burung sehingga mampu menyemarakkan lagi keindahan suasananya.
Dalam pada itu, salah sebuah destinasi pelancongan yang semakin giat memartabatkan budaya dan tradisi lama ini mula beroperasi untuk kunjungan orang ramai sejak tahun 2012 berkenaan turut mengetengahkan ruang koleksi gambar-gambar lama yang dikenali Galeri Seni Ku.
Galeri yang menyimpan gambar-gambar berkonsepkan nostalgia dalam kehidupan bermasyarakat setempat seperti suasana kampung ketika bermucang-mucang dan juga adat-adat perkahwinan serta koleksi barang-barang antik seperti televisyen lama, mesin jahit klasik dan kerusi besi lipat tahun 1960an. Dalam pada itu pelbagai jualan dan bengkel pertukangan kraf tangan kayu seperti peralatan dapur dan perabot antaranya sasaban, candas, gegawi dan sebagainya turut diketengahkan di persekitaran halaman rumah tradisi berkenaan.
Tujuh telaga menyimpan kisah lagenda
Rasanya ada generasi baharu yang kurang mengetahui akan cerita-cerita rakyat atau cerita lagenda yang terdapat di Negara Brunei Darussalam. Di Kampung Tanjong Maya yang terletak kira-kira 12 kilometer dari Pekan Tutong juga terdapat beberapa destinasi menarik yang mampu mewujudkan keseronokan kepada para pengunjungnya. Salah satunya ialah Telaga Mandian Tujuh Puteri.
Tujuh buah telaga yang dijumpai berdekatan dengan kawasan Pasir Putih di kampung berkenaan yang mana terdapat banyak mitos mengenainya. Menurut cerita orang tua-tua, pada masa dahulu dua orang puteri yang datang dari Gunung Mulu turun untuk mandi di telaga-telaga berkenaan setiap bulan purnama. Selain itu, kandang kambing di kampung berkenaan juga merupakan salah satu tarikan di mana rombongan dapat merasai pengalaman memberi makan kambing ternakan.
Sentuhan coklat homemade dan seni kraf tangan
Selain itu, sentuhan produk coklat homemade dihasilkan oleh Hajah Sauyah binti Haji Mahmud menerusi Galeri Lakaba Jaya di Kampung Sengkarai juga menjadi salah satu tarikan pengunjung di daerah berkenaan.
Bukan hanya menjual produk coklat semata-mata, beliau juga menawarkan tempahan buah tangan dan juga hantaran berasaskan sentuhan produk coklat bagi majlis-majlis tertentu pertunangan, perkahwinan dan sebagainya.
Seni kraf tangan berasaskan teknik Decoupage juga salah satu produk yang diketengahkannya.
Melalui seni berkenaan, barang-barang terbuang atau terpakai seperti barang besi, plastik, cermin, botol, kotak, beg anyaman serta tin umpama ‘hidup semula’ dan mempunyai nilai yang lebih baik untuk dikomersialkan kepada para pengunjungnya.
Salah seorang pengunjung tempatan dari Kampung Tanah Jambu, Hajah Nauyah binti Haji Hashim melahirkan perasaan teruja berpeluang berkunjung di Daerah Tutong yang pastinya tidak kurang hebatnya seperti di daerah-daerah lain yang dilihat begitu meriah dalam mengetengahkan tempat-tempat menarik untuk bersantai bersama insan-insan tersayang lebih-lebih lagi untuk mengisi masa terluang dengan sebaiknya.