BANGKOK – Kebanyakan lokasi di pantai selatan Thailand telah berjaya memikat hati pelancong sama ada dalam negara mahupun luar negara dengan keadaan air turquoisenya dan tebing batu kapur yang dramatik malah ada lagi yang dapat diterokai oleh pelancong di negara yang terletak di Asia Tenggara ini.
Thailand terkenal sebagai salah sebuah destinasi pelancongan terkenal dunia. Bagi mereka yang menggemari aktiviti pengembaraan di Thailand, destinasi percutian yang terletak di luar bandar Bangkok ini, jauh dari tempat-tempat hebat untuk foto Instagram seperti Phuket atau Pattaya yang pasti menawarkan satu pengalaman percutian yang menakjubkan.
Ban Krut
Di kawasan santai Ban Krut, pelancong akan dapat menyaksikan pemandangan pasir putih yang cantik dan bersih malah paling tenang serta terletak hanya beberapa jam dari pusat bandar Bangkok. Terkenal sebagai lokasi yang sunyi dan tenang, ia hanya diketahui oleh penduduk tempatan sahaja, namun ia semakin terkenal sejak kebelakangan ini.
Semasa berada di sini, pelancong berpeluang untuk mengunjungi Wat Tang Sai yang menakjubkan, sebuah kuil Buddha seperti sebuah istana yang besar terletak di puncak Gunung Thong Chai.
Sungai Kwai
Kebanyakan pengunjung yang datang ke pantai ataupun sungai-sungai serta taman-taman di wilayah Kanchanaburi, Thailand pasti akan mendapat banyak tawaran bagi meneroka kawasan-kawasan ini.


Wilayah ini dipenuhi dengan alam semula jadi yang menarik seperti air terjun yang indah di Taman Negara Sai Yok dan Erawan.
Hanya dua jam pemanduan dari Bangkok dan melalui sebuah jambatan yang terkenal di atas Sungai Kwai yang pernah dipaparkan dalam filem Anugerah Akademi 1957, yang diterbitkan oleh Perancis. Pelancong boleh menginap di sebuah hotel terapung di tepi sungai Kanchanaburi, di mana pelancong boleh melakukan aktiviti berkayak dan ber-mula hanya di depan pintu penginapan.
Gua Phraya Nakhon
Dengan laluan yang berlumpur, kembara yang mencabar, tanah lembap dan menelusuri kawasan hutan bakau menjadikan Taman Negara Khao Sam Roi Yot sebuah destinasi pelancongan mencabar dan lasak.
Antara tarikan yang hebat di taman ini ialah Gua Phraya Nakhon yang luar biasa.
Pelancong digalakkan untuk datang lebih awal bagi menyaksikan pemandangan yang indah serta dibanjiri dengan sinaran matahari pagi yang menerangi Pavilion Diraja yang dibina di dalam gua tersebut.
Pengembara perlu berkhemah di luar gua atau di sebuah bangle dan penginapan mewah di kawasan berdekatan di Hua Hin yang berdekatan, tiga jam pemanduan dengan kereta atau empat jam dengan menggunakan kereta api dari Bangkok.
Lopburi
Pelancong boleh mengikuti pakej pelancongan dan meneroka bandar kuno Ayutthaya yang terletak hanya dua jam pemanduan dari utara Bangkok.
Lopburi merupakan salah sebuah bandar tertua di Thailand, menawarkan pelbagai jenis kuil zaman Khmer dan runtuhan Istana Raja Narai, yang dibina pada tahun 1600an.
Tempat ini juga terkenal dengan monyet-monyet nakal yang berkumpul di Kuil Phra Prang Sam Yot di pusat bandar.
Antara tip yang diberikan kepada pelancong adalah untuk mengekalkan jarak yang selamat daripada monyet dan sembunyikan apa sahaja benda yang anda rasakan tidak mahu dilarikan oleh monyet tersebut.
Persediaan pengangkutan
Lazimnya, para pelancong yang mengunjungi kawasan-kawasan ini akan menyewa kereta iaitu kira-kira AS$20 sehari dan permit pemandu antarabangsa juga diperlukan.
Pelancong juga boleh menyewa pemandu khususnya dari beberapa buah syarikat sewa kereta utama yang menawarkan kemudahan itu. Selain itu, pelancong boleh menempah teksi atau meneroka dengan menggunakan kereta api.
Apa yang penting, pelancong digalakkan untuk menyediakan peta Google dan aplikasi penterjemahan yang siap sedia untuk digunakan bagi memudahkan perjalanan pelancong ke destinasi-destinasi berkenaan. – AP