CITTA DI CASTELLO – Isabella Dalla Ragione memburu buah-buahan dilupakan di kebun dan taman yang terbiar, memelihara warisan pertanian Itali serta menyelamatkan keragaman yang boleh membantu petani menyesuaikan diri dengan cabaran perubahan iklim.
Koleksi epal, pir, ceri, plum, pic dan badam yang dikumpulkan wanita berusia 68 tahun ini menggunakan kaedah tradisional lebih tahan terhadap perubahan cuaca dan ekstrem yang semakin kerap berlaku di kawasan Mediterranean selatan.
Ahli agronomi Itali yang kini menjadi detektif ini mencari deskripsi buah tempatan zaman dahulu dalam diari atau dokumen pertanian berabad lamanya, kemudian berusaha menemuinya.
Ada juga yang dikenal pasti dengan membandingkannya kepada buah-buahan dalam lukisan Zaman Renaissance, yang kerap muncul dalam gambaran Madonna dan Kanak-kanak.
Daripada kira-kira 150 varieti yang dikumpul dari Tuscany, Umbria, Emilia-Romagna dan Marche, dan ditanam oleh yayasan bukan keuntungan Archeologia Arborea miliknya, pir bulat kecil dari Florence menjadi antara kegemaran Dalla Ragione.




“Saya menjumpainya dalam dokumen abad ke-1500, tetapi tidak pernah melihatnya dan percaya ia telah hilang,” katanya kepada AFP.
“Kemudian 15 tahun lalu, di kawasan pergunungan antara Umbria dan Marche, saya menemui pokok hampir di tengah hutan,” hasil bantuan seorang wanita tua tempatan yang memberitahu tentang pokok itu secara kebetulan.
Walaupun varieti lama mempunyai rasa yang enak, kebanyakan daripadanya hilang dari pasaran dan meja makan selepas Perang Dunia Kedua apabila sistem pertanian Itali dimodenkan.
‘MENDESAK’
Itali merupakan pengeluar buah yang besar. Pengeluaran pirnya menduduki tempat pertama di Eropah dan ketiga di peringkat global, tetapi hanya lima varieti moden, tiada satupun dari Itali, menyumbang lebih 80 peratus daripada hasilnya.
“Dulu ada ratusan, malah ribuan varieti kerana setiap wilayah, setiap lembah, setiap tempat mempunyai varieti sendiri,” kata Dalla Ragione sambil menunjukkan bakul rotan penuh buah yang disimpan di sebuah gereja kecil berdekatan kebun.
Pasaran moden sebaliknya menuntut tanaman besar yang mudah dituai, disimpan dan bertahan lama.
Namun, dengan pemanasan global yang menjadikan iklim semakin mencabar, pakar mengatakan kepelbagaian genetik tumbuhan yang lebih luas adalah kunci.
“Varieti warisan… mampu menyesuaikan diri dengan perubahan iklim, kekurangan air yang lebih teruk, ekstrem sejuk dan panas,” kata Mario Marino dari bahagian perubahan iklim Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB.
“Namun, penyakit yang lebih teruk muncul, yang biasanya varieti moden lebih tahan… dan varieti tempatan musnah atau mungkin tidak berbuah,” katanya kepada AFP.
Jawapannya terletak pada penciptaan varieti baru dengan menggabungkan varieti moden dan tradisional, katanya.
Marino, yang menjadi penasihat yayasan Dalla Ragione, berkata kerja wanita itu ‘mendesak’ kerana “memelihara warisan bermakna memelihara tanah, memelihara biodiversiti… dan membolehkan kita menggunakan DNA itu untuk sumber genetik baru”.
TESTIMONI LISAN
Penyelidik boleh mengakses koleksi itu, manakala Dalla Ragione turut mencipta semula taman bersejarah yang boleh menempatkan varieti yang diselamatkan sebagai sebahagian projek yang dibiayai EU.
“Kami tidak melakukan semua kerja penyelidikan dan pemuliharaan ini kerana nostalgia atau romantisisme,” katanya ketika memetik epal merah jambu dari pokoknya di perkampungan berbukit San Lorenzo di Lerchi, Umbria.
“Kami lakukan kerana apabila kita kehilangan varieti, kita kehilangan keselamatan makanan, kehilangan kepelbagaian dan keupayaan sistem untuk menyesuaikan diri dengan pelbagai perubahan, serta banyak kehilangan dari segi budaya.”
Dalla Ragione mencari jawapan kepada misteri buah di kebun biara, taman bangsawan dan lot tanah biasa. Beliau meneliti teks tempatan abad ke-16 dan ke-17.
Beliau pernah menjejaki sebiji pir ke sebuah kampung di selatan Umbria selepas membacanya dalam diari seorang pengarah kumpulan muzik.
Namun salah satu sumber terpentingnya tentang cara terbaik menanam varieti ini adalah testimoni lisan dan apabila generasi terakhir petani yang menanam tanaman ini meninggal dunia, banyak pengetahuan tempatan hilang.
Keadaan ini menyukarkan beliau membahagikan masa antara penyelidikan dan mencari varieti baru, walaupun beliau belajar dengan cara sukar bahawa keutamaannya “sentiasa untuk menyelamatkannya”.
“Dulu jika saya menunda, berfikir ‘saya akan buat tahun depan’, saya dapati pokok itu telah hilang,” katanya. – AFP
