KUALA LUMPUR, 21 DIS – Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-undang Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 melibatkan perbelanjaan perkhidmatan RM107.72 bilion.
Rang undang-undang yang diusulkan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan itu diluluskan dengan suara majoriti Ahli Dewan Negara selepas dibahaskan oleh enam Senator.
Terdahulu, semasa menggulung perbahasan rang undang-undang itu, Ahmad berkata Kerajaan Perpaduan akan sentiasa berusaha memastikan kos sara hidup rakyat di peringkat terkawal.
Bagi tujuan itu, beliau berkata buat kali pertama dalam sejarah negara, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup diwujudkan.
“Sebelum ini tak pernah ada menteri kos sara hidup dan kali ini kita gabungkan, tentunya adalah bertujuan untuk memastikan kos sara hidup rakyat di peringkat yang terkawal,” katanya.
Ahmad berkata bajet sementara itu yang telah diluluskan di Dewan Rakyat semalam diperuntukkan untuk enam bulan pertama 2023, sementara menunggu bajet sebenar dengan mengambil kira kepentingan penjawat awam serta bantuan tunai kepada rakyat.
Ini termasuk bantuan tunai RM150 kepada pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah yang melibatkan peruntukan sehingga RM450 juta.
Semasa sesi perbahasan, Senator Datuk Dr Ahmad Azam Hamzah mencadangkan kerajaan mengadakan peran-cangan tertentu dengan kadar segera bagi mengurangkan kos sara hidup yang dialami rakyat ketika ini. – Bernama


