LONDON, 5 DIS – Parti Buruh Britain hari ini berikrar akan memansuhkan Dewan Negara sebagai sebahagian daripada rombakan Perlembagaan untuk menjamin pengagihan ekonomi secara saksama selepas Brexit.
Berdasarkan tinjauan, Parti Buruh dijangka mengambil alih kuasa pada pilihan raya akan datang menjelang Januari 2025, sekali gus menggantikan Parti Konservatif yang memerintah sekarang.
Pemimpin Buruh, Keir Starmer, berjanji akan melakukan ‘pemindahan kuasa terbesar dari Parlimen United Kingdom (UK) di Westminster kepada rakyat British’, dengan alasan pengundi pada 2016 memilih untuk keluar dari Kesatuan Eropah (EU) kerana kurang kawalan demokrasi.
Strategi reformasi parti itu, yang dirangka oleh bekas Perdana Menteri, Gordon Brown, membayangkan penurunan kuasa baharu ke wilayah dan negeri di UK termasuk Scotland, di mana kerajaan nasionalis mendesak diadakan referendum baharu mengenai kemerdekaan.
Brown, yang mengetuai kempen 2014 supaya Soctland kekal dalam UK, mencadangkan penurunan kuasa yang lebih besar, dengan parlimen Edinburgh dimasukkan dalam perjanjian antarabangsa yang membabitkan kawasan Scotland.
Berucap di hadapan penonton di Leeds, utara England, Starmer berkata ‘kegagalan pertumbuhan ekonomi sejak 12 tahun lalu’ di bawah pemerintahan Konservatif sebahagiannya disebabkan kegagalan UK secara menyeluruh untuk menguasai pertumbuhan dan terlalu bergantung kepada London serta tenggara England.
“Saya rasa Dewan Negara tidak dapat dipertahankan. Sesiapa saja yang melihat Dewan Negara akan berdepan kesukaran untuk mengatakan bahawa ia harus dikekalkan.
“Oleh itu, kami mahu memansuhkan Dewan Negara dan menggantikannya dengan Dewan yang dilantik dan mempunyai misi yang sangat kuat,” katanya. – AFP
