Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Jun – Dewan Perniagaan Tiong Hua Bandar Seri Begawan mengumumkan bahawa dewan perniagaan berkenaan telah diberikan surat kebenaran oleh Registrar of Society (ROS) yang memberikan kebenaran dan mengarahkan dewan perniagaan berkenaan untuk mengatur bagi pelantikan jawatankuasa pengurusan sementara.
Pengumuman itu dibuat dalam sidang dan kenyataan akhbar yang berlangsung di Pejabat Dewan Perniagaan Tiong Hua Bandar Seri Begawan, baru-baru ini, di mana Dr. Chan Sui Kiat telah dilantik dan diberikan kuasa penuh untuk memulakan proses undian bagi Jawatankuasa Pengurusan ke-41, Dewan Perniagaan Tiong Hua, Bandar Seri Begawan.
Menurut kenyataan itu lagi, Dr. Chan akan mencalonkan se-ramai 15 orang bagi jawatankuasa pengurusan sementara bagi mengendalikan dan melaksanakan semua perkara serta proses yang berkaitan dengan undian berkenaan dalam tempoh enam bulan.
Kenyataan juga menggesa semua ahli syarikat yang masih belum melantik wakil-wakil mereka, untuk melantik wakil-wakil rasmi yang perlu melapor ke Pejabat Dewan Perniagaan Tiong Hua Bandar Seri Begawan tidak lewat dari 14 Julai nanti bagi mengemaskinikan alamat mereka, bagi membolehkan pihak dewan perniagaan untuk menghantar borang pra-pencalonan atau kertas undian kepada mereka tepat pada waktunya.
