Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 APRIL – Usaha terus dilaksanakan untuk mengembangkan dan meneroka peluang kerjasama baharu dalam bidang keusahawanan serta perniagaan di antara Dewan Perniagaan Tionghua Bandar Seri Begawan dan Dewan Perniagaan dan Industri Tionghua Miri.
Ke arah itu, delegasi seramai 20 orang dari Dewan Perniagaan dan Industri Tionghua Miri mengadakan kunjungan muhibah ke Dewan Perniagaan Tionghua Bandar Seri Begawan yang selangsung di Dewan Persidangan, Dewan Perniagaan Tionghua Bandar Seri Begawan, hari ini.
Kehadiran delegasi dari Miri, Malaysia yang diketuai oleh Pengerusi Dewan Perniagaan dan Industri Tionghua Miri, Ling Chiong Sing telah dialu-alukan oleh Presiden Dewan Perniagaan Tionghua Bandar Seri Begawan, Lim Han Chiong serta ahli-ahli eksekutif persatuan berkenaan.
Delegasi dari Miri turut disertai oleh Pengerusi Kehormat, Lee Khoi Yun, Naib Pengerusi I, Vincent Lu Yew Hee, Naib Pengerusi II, Ling Kie King dan Naib Pengerusi III, Sim Soon Tian.
Dalam kata alu-aluannya, Ling Chiong Sing menyatakan walaupun Dewan Perniagaan dan Industri Tionghua Miri dan Dewan Perniagaan Tionghua Bandar Seri Begawan terletak di negara yang berbeza tetapi kedua-dua organisasi mempunyai misi yang sama iaitu menyatupadukan usahawan Tionghua bagi pembangunan negara serta menjana pertukaran dan kerjasama perniagaan.
Beliau menambah dalam dunia yang pesat berubah, dewan perniagaan perlu terus berusaha dipertingkatkan supaya dapat kekal selari dengan trend global. Beliau berkata Dewan Perniagaan dan Industri Tionghua Miri bakal meraikan satu mercu tanda penting iaitu ulang tahun penubuhan ke-100 pada majlis malam gala pada 5 September nanti.
Dalam hubungan itu, beliau menghulurkan jemputan kepada Dewan Perniagaan Tionghua Bandar Seri Begawan untuk menghadiri perhimpunan bersejarah berkenaan yang bakal dihadiri oleh pemimpin kerajaan, perniagaan dan industri serta masyarakat bagi sama-sama merenung pencapaian yang telah dikecapi selama penubuhannya serta hala tuju pertumbuhan masa depannya.
Sambutan itu, jelasnya lagi, bukan sahaja mengetengahkan sumbangan cemerlang dewan perniagaan berkenaan kepada pertumbuhan ekonomi dan masyarakat tetapi juga inovasi dan warisan berkekalan komuniti perniagaan Tionghua.
Pada majlis berkenaan, kedua-dua persatuan juga membincangkan mengenai perlunya untuk menarik lebih ramai ahli-ahli muda yang baharu bagi perancangan peralihan kepimpinan masa hadapan.
