Saturday, May 10, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    DF Automation and Robotics intai peluang pasaran robotik luar

    JOHOR BAHRU, 31 OKT – DF Automation and Robotics Sdn Bhd kini mengintai peluang di India dan Singapura untuk memasarkan produk mereka berikutan potensi dan permintaan yang tinggi di kedua-dua negara berkenaan.

    Pengarahnya Dr Yeong Che Fai berkata syarikat itu bercadang meningkatkan kehadirannya di pasaran  negara-negara itu dalam tempoh enam bulan akan datang. Menurutnya, berdasarkan statistik oleh World Robotics, India mencatatkan peningkatan berterusan dari segi penggunaan robotik manakala Singapura turut mempunyai kadar ketumpatan robot yang tinggi. 

    “Disebabkan itu, kami bercadang untuk meningkatkan kehadiran di negara-negara ini – India dan Singapura,” katanya ketika ditemui di kilangnya di Taman Impian Emas, di sini hari ini. 

    Terdahulu, delegasi Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif MTDC Datuk Norhalim Yunus dibawa melawat fasiliti dan kilang DF Automation and Robotics serta mendengar taklimat mengenai produk dan teknologi terbaharu syarikat itu. 

    Menurut Yeong, berikutan pandemik, terdapat permintaan yang tinggi daripada sektor pergudangan dan logistik disebabkan kekurangan tenaga kerja dan prosedur operasi standard yang dipertingkat. 

    “Sebenarnya, ada satu segmen robot yang kita lihat sangat perlu dalam industri kita iaitu dalam pergudangan dan logistik. Pada tahun ini dan tahun hadapan misalnya, kita lihat ada banyak permintaan untuk mengangkat palet dengan berat sehingga satu hingga dua tan,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda