KUALA LUMPUR, 22 OGOS – Jabatan Perdagangan Luar (DFT) Thailand memuji Padiberas Nasional Bhd (Bernas) kerana memainkan peranan penting dalam menyokong import beras Thai ke negara itu.
Ketua Pengarah DFT, Ronnarong Phoolpipat berkata kerjasama dengan Bernas bagi memahami kriteria dan strategi untuk mendapatkan beras, serta menangani sebarang cabaran, boleh membuka potensi penuh perdagangan beras di antara kedua-dua negara.
“Thailand berada dalam keadaan yang kukuh dan boleh dipercayai apabila mengeksport beras, baik dari segi kualiti dan penghantarannya yang cekap.
“Pelanggan kami di seluruh dunia boleh yakin yang mereka akan sentiasa mendapat beras berkualiti terbaik,” katanya dalam satu kenyataan, sempena misi perdagangan delegasi Thailand selama dua hari yang berakhir hari ini.
DFT ialah agensi kerajaan yang bertanggungjawab untuk mempromosikan beras Thai di pasaran luar.

Semasa berlangsungnya misi perdagangan yang diketuai Ronnarong, Kementerian Perdagangan Thailand mengadakan perbincangan mendalam dengan pemborong, pengedar dan peruncit beras Malaysia, Bernas.
Delegasi Thailand diwakili pegawai-pegawai kerajaan daripada DFT dan Pejabat Hal Ehwal Komersial di Kedutaan Diraja Thailand, Kuala Lumpur, serta 17 pengeksport beras daripada Persatuan Pengeksport Beras Thai (TREA).
Isu-isu yang dibincangkan ialah dasar perdagangan beras, situasi semasa pasaran beras di Malaysia, sekuriti makanan, cabaran yang dihadapi oleh pengimport dan pengeksport beras di kedua-dua negara dan peluang untuk meningkatkan hubungan antara organisasi di peringkat nasional bagi meningkatkan kerjasama pada masa hadapan. – Bernama

