Wednesday, May 14, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Di balik karakter seorang nabi

    SETIAP detik dan peluang kehidupan yang dianugerahkan oleh Allah digandingkan bersama anugerah masa yang tidak ternilai.

    Di sebalik anugerah tersebut, manusia diberi kesempatan untuk melakar impian dan harapan, juga menyimpan kemas sejarah dan kenangan silam.

    Yang pasti masa dan usia berjalan seiring dengan perkembangan dan perubahan fizikal, intelektual, spiritual dan emosional. Walau berapa angka umur kita saat ini, masa yang telah berlalu pasti tidak berganti. Yang ada hanya kenangan dan pengajaran.

    Sejarah itu penting

    Sejarah bergerak bersama-sama dalam kehidupan kita. Ia bukan hanya untuk menyedarkan tetapi juga mematangkan. Sebab itu sejarah dan manusia tidak boleh dipisahkan.

    Di situ dijadikan panduan untuk membina kehidupan yang lebih positif. Bukan sekadar itu sahaja, malah ia membantu kita untuk meneruskan kehidupan dan merancang masa hadapan yang signifikan.

    Sejarah bergerak seiring dalam kehidupan kita. Ia bukan hanya untuk menyedarkan tetapi juga mematangkan. Sebab itu sejarah dan manusia tidak boleh dipisahkan.

    Teladani tabiat seorang nabi

    1-Taubat Nabi Adam

    Kisah: Nabi Adam merupakan manusia pertama yang dicipta oleh Allah S.W.T mempunyai kehidupan yang sempurna dalam syurga dan ditemani isteri yang menyayangi. Namun akhirnya terperangkap dengan tipu daya musuh. Lalu bertaubat memohon keampunan Allah.

    Pengajaran:

    -Walau mulia kedudukan kita pada pandangan manusia, memohonlah perlindungan Allah agar dijauhkan daripada tipu daya syaitan.

    -Berhati-hatilah dalam menjalani kehidupan.

    -Lazimi istighfar dan taubat atas dosa yang diketahui atau yang tidak disengajakan.

    2-Selembut kata Nabi Musa

    Kisah: Baginda ditugaskan membawa risalah tauhid kepada Firaun yang terkenal dengan kezaliman. Namun tetap diperintahkan untuk berdebat dengan hujah yang konkrit berlapikkan kata-kata yang lembut.

    Pengajaran:

    -Tugas pendakwah ialah mengajak bukan menghukm.

    -Walau siapa lawan bicara kita, kebijaksanaan untuk memujuk mereka kembali kepada kebenaran memerlukan gaya bahasa yang sesuai dan psikologi yang tepat.

    3-Sepintar Nabi Sulaiman

    Kisah: Kebijaksanaan dan kekayaan tidak pernah mengalihkan perhatian Nabi Sulaiman daripada tetap sujud dan patuh pada batasan syariat. Kebijaksanaan ditadbir dengan menjadi seadil-adil raja manakala kekayaan diurus dengan menjadi semulia-mulia pemegang amanah.

    Pengajaran:

    -Setiap manusia dicipta dengan keunikan dan kelebihan yang berbeza.

    -Halakan kelebihan yang dimiliki ke arah kebaikan.

    -Jadilah sebaik-baik hamba yang berbakti.

    4-Setenang Nabi Muhammad

    Kisah: Ketenangan sebagai hamba dalam melalui ujian kehidupan sebagai anak yatim, peniaga, sahabat, suami, ayah dan pemimpin dalam medan dakwah yang mencabar semakin menguatkan hubungan dan kepercayaan Baginda kepada Allah.

    Pengajaran:

    -Tanggungjawab yang kita pikul tidak sehebat Nabi.

    -Maka lakukanlah yang terbaik dalam setiap urusan dengan penuh kesedaran bahawa setiap perkara yang dilakukan akan dinilai di sisi Allah tanpa pengecualian.

    -Hadapi ujian dengan tenang melalui pergantungan pada Allah.

    Sejarah yang telah berlalu pasti ada hikmah. Hikmah tidak akan dapat difahami kecuali bagi mereka yang berfikir. Maka pilihlah sama ada untuk menjadikan sejarah sebagai iktibar dan batu loncatan untuk maju atau hanya termenung hingga tenggelam bersama-sama sejarah. Ciptalah sejarah dan kenangan terindah dalam kehidupan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda