KUALA LUMPUR, 19 MAC – Isu kewajaran Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026 semakin ‘hangat’ diperbincangkan, apabila pelbagai pihak tampil dengan pendapat berbeza sehingga menimbulkan persoalan baharu, di mana prestij temasya empat tahun sekali itu sekiranya Malaysia mengurangkan bilangan sukan sehingga serendah 10 acara?
Penganalisis sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata cadangan pengurangan acara sukan itu tidak realistik, apabila Malaysia dilihat seolah-olah mahu merendahkan taraf temasya kedua terbesar selepas Sukan Olimpik, yang turut diadakan empat tahun sekali itu.
Selain yakin cadangan berkenaan bukanlah yang dimahukan Persekutuan Sukan Komanwel (CGF), dengan Malaysia yang berkemungkinan disifatkan menganjurkan temasya berkenaan sebagai ‘cukup syarat’, bagi mengisi slot hos diberikan badan induk dunia itu.
“Sukan (Komanwel) ini tahap apa? Sukan SEA pun lebih banyak acara (jadi kalau terima) ia seolah-olah sekadar nak mengadakan sahaja, kalau kita nak menjaga imej negara kita perlu penuhi tuntutan CGF. Saya tidak rasa CGF kata 10 acara sudah cukup asalkan Malaysia buat, (jadi) ia satu keputusan (kurang baik) dari kita. – Bernama
