CHICAGO, 10 JUN – Angel Di Maria menjaringkan satu-satunya gol ketika Argentina bersedia untuk mempertahankan mahkota Copa America mereka dengan kemenangan 1-0 dalam perlawanan persahabatan menentang Ecuador di Chicago kelmarin.
Di Maria, yang dilantik sebagai kapten untuk perlawanan ini dengan Lionel Messi direhatkan di bangku simpanan, menjaringkan gol antarabangsa ke-31 beliau pada minit ke-40 dalam pertembungan yang menghiburkan di Soldier Field.
Permainan dengan pendekatan yang sabar menyaksikan pemain tengah Atletico, Madrid Rodrigo De Paul melakukan hantaran tajam kepada pemain pertahanan, Cristian Romero yang berada dalam posisi menyerang di tepi kotak penalti.
Bek tengah Tottenham itu berpusing dengan cemerlang dan menghantar umpan terbalik yang hebat kepada Di Maria dan pemain sayap veteran itu bergerak pantas sebelum melakukan sepakan rendah yang cekap melepasi penjaga gol Ecuador, Hernan Galindez.
Di Maria membuka laluan kepada Messi pada minit ke-56 tetapi bintang Inter Miami itu gagal membantu Argentina menambah jaringan.
Perlawanan kelmarin di Chicago adalah satu daripada dua perlawanan persahabatan yang dijadualkan oleh Argentina sebelum mereka memulakan Copa America pada 20 Jun menentang Kanada di Atlanta.
Penyandang juara dunia itu akan berdepan Guatemala di Landover, Maryland, pada Jumaat ketika mereka melengkapkan persiapan untuk Copa America, yang diadakan di Amerika Syarikat tahun ini dengan penyertaan pasukan dari CONCACAF. – AFP
