“Kalau tengok dari segi komen di YouTube atau Instagram, yang banyak mengecam saya adalah orang Malaysia,” kata penyanyi Baby Shima.
Penyanyi bernama sebenar Nor Ashima Ramli, 26, ini berkata, amat berbeza di Indonesia apabila peminatnya banyak menulis komen-komen berbentuk positif dan memberi semangat supaya berjaya dalam bidang nyanyian.
“Mereka banyak mendoakan yang baik-baik untuk saya. Tapi masyarakat Malaysia, kadang-kadang saya tak buat silap pun pasti ada segelintir pihak yang mengecam. Boleh tengok sendiri di laman sosial kebanyakan yang kecam saya adalah orang kita sendiri. Pernah juga saya terima komen lucah dan itu semua daripada masyarakat tempatan. Itu yang buat saya bertindak membuat laporan polis sebelum ini. Saya perlu jadikan ini sebagai pengajaran kepada golongan tak bertanggungjawab terbabit,” katanya kepada media.
Shima yang memilih mengembangkan karier nyanyian di Indonesia berkata, apa yang berlaku menjadikan dia sentiasa mengambil langkah berhati-hati setiap kali menggunakan platform media sosial.
Dia yang popular dengan lagu Makan Hati ciptaan Yogi berkata, peminat Indonesia yang mengikutinya di Instagram amat ramai. “Saya pun tertanya-tanya juga apa yang buat mereka tertarik dengan saya. Kita tak tahu orang sukakan kita sebab apa. Mungkin saya perlu bertanya peminat sendiri apabila bertemu mereka,” katanya.
Di Malaysia, Shima bernaung di bawah syarikat rakaman MVM Music dan baru menghasilkan single berjudul Pura Pura Bujang ciptaan Ezra Kong dan lirik Mimi ONE. – Agensi
