Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Di sebalik sangkar: Fenomena singa jadi peliharaan di Chiang Mai

    CHIANG MAI, THAILAND – Di sebalik sebuah bengkel membaiki kereta di sebuah jalan biasa di Thailand, tersembunyi haiwan peliharaan yang sangat disayangi seorang pempengaruh TikTok yang semakin popular iaitu dua ekor singa dan seekor hibrid singa-harimau yang mempunyai berat sehingga 200 kilogram bernama ‘Big George’.

    Di Thailand memelihara singa adalah tidak ditegah oleh pihak kerajaan dan Tharnuwarht Plengkemratch merupakan salah seorang penyokong tegar yang memelihara singa sebagai haiwan peliharaannya, bahkan dia sering memuat naik perkembangan haiwan itu kepada hampir tiga juta pengikutnya di TikTok.

    “Ia suka bermain dan penyayang, seperti anjing atau kucing,” katanya kepada AFP dari dalam sangkar di rumahnya di bandar Chiang Mai, utara Thailand.

    Populasi singa peliharaan di Thailand telah meningkat dengan mendadak sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan hampir 500 singa didaftarkan di zoo, ladang pembiakan, kafe peliharaan dan rumah.

    Para pakar memberi amaran trend itu dapat membahayakan haiwan dan manusia serta membebankan pihak berkuasa kerana kemungkinan besar menggalakkan perdaga-ngan haram di dalam dan juga luar negara.

    Tharnuwarht Plengkemratch, sedang berinteraksi dengan haiwan peliharaannya, hibrid singa dan harimau bernama Big George di Chiang Mai. – AFP
    Antara pengunjung yang berinteraksi dengan anak singa di sebuah kafe di Chiang Mai. – AFP
    Seorang pengendali singa sedang bermain dengan anak singa di sebuah kafe di Chiang Mai. – AFP
    Seekor singa betina peliharaan bernama “Jam”, milik pemilik bengkel mekanik, berada di dalam kandang di Chiang Mai. – AFP
    Tharnuwarht Plengkemratch sedang berinteraksi dengan hibrid singa-harimau peliharaannya, “Big George”. – AFP

    “Ia sukar dipercayai,” kata Ketua Pegawai Operasi pertubuhan pemuliharaan Wildlife Friends Foundation Thailand, Tom Taylor. “Seram untuk membayangkan, jika undang-undang tidak diubah, bagaimana situasinya dalam 10 tahun akan datang.”

    Fenomena itu semakin terkenal apabila Tharnuwarht memuat naik kandungan santai dan bergambar bersama singa-singa peliharaannya.

    “Saya mahu menunjukkan kepada orang ramai bahawa singa sebenarnya boleh menjalin ikatan baik dengan manusia,” katanya, sambil menegaskan dia selalu bermain dengan haiwannya.

    Dia akan memasuki sangkar Big George dengan berhati-hati, meluangkan beberapa minit bermain dengan kaki haiwan berbulu itu.

    Sejak 2022, undang-undang Thailand mewajibkan pemilik mendaftarkan dan memasang mikrocip pada singa serta memaklumkan pihak berkuasa sebelum memindahkan haiwan.

    Namun, tiada had pembiakan, sedikit syarat sangkar atau kebajikan dan tiada kawalan ke atas hibrid liger atau tigon itu dikenakan.

    Kelahiran spesies terancam seperti harimau mesti dilaporkan dalam masa 24 jam, manakala pemilik singa diberi tempoh 60 hari.

    “Itu satu tempoh yang panjang,” kata Taylor. “Apa yang boleh dilakukan dengan satu kelahiran anak singa dalam 60 hari itu? Apa sahaja.”

    Taylor dan rakan-rakannya mengesan peningkatan pemilikan singa dengan lawatan tapak dan penjejakan media sosial.

    Mereka merekodkan kira-kira 130 ekor singa pada 2018 dan hampir 450 ekor pada 2024.
    Namun, hampir 350 ekor singa lagi mereka tidak dapat mengesan selepas lokasi tidak dapat disahkan selama setahun.

    Ini mungkin menunjukkan kematian yang tidak dilaporkan, haiwan yang dipindahkan dari pameran atau “senario terburuk,” kata Taylor.

    “Kami telah menemu bual peniaga yang memberikan harga untuk singa hidup dan mati dan memberitahu mereka boleh membawa singa itu menyeberang sempadan.”

    Sebagai spesies yang terancam, singa dan bahagian badannya hanya boleh dijual antarabangsa dengan permit CITES dan beberapa pakar memberitahu AFP, terdapat bukti secara tidak langsung dikaitkan dengan perdagangan haram.

    Laporan media dan media sosial banyak mendokumentasi singa, termasuk anak singa, di Kemboja dalam beberapa tahun kebelakangan, walaupun CITES tidak merekodkan sebarang import sejak 2003.

    Terdapat juga bukti meningkat bahawa jumlah singa peliharaan di Laos melebihi lesen import CITES.

    Di Thailand, import bahagian singa seperti tulang, kulit dan gigi menurun tetapi permintaan kekal, menimbulkan persoalan bagaimana bahagian itu diperoleh sekarang.

    Peniaga Thailand, Pathamawadee Janpithak, bermula dalam perniagaan buaya, tetapi beralih kepada singa apabila harga reptilia menurun.

    “Secara beransur-ansur ia menjadi perniagaan sepenuhnya yang saya tidak dapat tinggalkan,” kata wanita ceria berusia 32 tahun itu kepada AFP di hadapan barisan anak singa dalam sangkar.

    Dia telah menjual anak singa berusia sebulan sekitar 500,000 baht, turun dari puncak 800,000 baht, kerana operasi pembiakan seperti miliknya meningkatkan bekalan.

    Singa peliharaan biasanya diberi makan sekitar dua kilogram bangkai ayam sehari, dan boleh melahirkan anak dua hingga enam ekor, sekali atau dua kali setahun.

    Tiga kemudahan Pathamawadee menempatkan kira-kira 80 singa, dari singa jantan berusia sembilan tahun yang gagah hingga dua anak singa berusia lapan hari yang lemah sedang diberi susu botol 24 jam sehari.

    Singa putih mereka adalah hasil mutasi genetik, dan kumpulan kecil singa putih menyebabkan masalah pembiakan silang dan penyakit kerap berlaku.

    Kadang-kadang disalah anggap sebagai subspesies ‘terancam’, singa putih sangat popular di Thailand, namun anak singa putih sebulan yang dibesarkan bersama anak-anak lain hampir sepanjang masa sakit.

    Setakat ini tiada pembeli berminat dan anak singa itu tidak dapat dibiak, kata Pathamawadee.

    Pathamawadee menjual kira-kira separuh daripada 90 anak singa yang dibiak setiap tahun, biasanya kepada penternak lain, yang semakin banyak membuka “kafe singa” di mana pelanggan boleh bergambar dan memegang anak singa.

    Di luar Chiang Mai, seorang penjaga membangunkan seekor anak singa dari tidur untuk bermain dengan sekumpulan pelancong Cina yang bersorak.

    Kakitangan membenarkan AFP merakam interaksi itu, tetapi seperti semua kafe singa yang dihubungi, enggan memberi temubual.

    Pathamawadee tidak lagi menjual kepada kafe kerana mereka biasanya melepaskan anak singa dalam beberapa minggu selepas membesar.

    Populasi singa yang semakin meningkat menjadi masalah kepada Jabatan Taman Negara, Hidupan Liar dan Pemuliharaan Tumbuhan Thailand (DNP), akui pengarah perlindungan hidupan liar, Sadudee Punpugdee.

    Pihak berkuasa yang sudah terbeban menghadapi pilihan sukar dalam menguatkuasakan peraturan, kerana haiwan yang dirampas menjadi tanggungjawab mereka, kata Penthai Siriwat, pakar perdagangan hidupan liar haram WWF Thailand.

    “Terdapat banyak pertimbangan sebelum campur tangan dan memikirkan kos yang tinggi,” katanya kepada AFP.

    Pemilik seperti Tharnuwarht sering menggunakan alasan pemuliharaan untuk mempertahankan haiwan mereka, tetapi singa peliharaan di Thailand tidak akan pernah hidup di alam liar.

    Dua singa berusia dua tahun, Khanom dan Khanun, tinggal di pusat perlindungan DNP selepas dirampas dari sebuah kafe dan pemilik peribadi kerana dokumen tidak lengkap.

    Mereka boleh hidup selama satu dekad atau lebih lagi, memerlukan penjaga, makanan dan penjagaan khas.

    Ketua veterinar pusat perlindungan, Natanon Panpeth, berhati-hati apabila membincangkan perdagangan singa, hanya mengingatkan “kesejahteraan haiwan harus sentiasa diutamakan.”

    Pemilikan haiwan tersebut telah diharamkan di Amerika Syarikat dan Emiriah Arab Bersatu dalam beberapa tahun kebelakangan, dan peraturan hidupan liar Thailand akan dikaji semula tidak lama lagi. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda