Tuesday, May 13, 2025
29.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Di sebalik setiap koleksi model aksi, terselit suatu kenangan

    Oleh Sim Y.H.

    Dengan rekaan yang menawan serta peluang untuk menghidupkan babak-babak aksi yang menarik, model aksi bagi watak-watak rancangan televisyen, filem mahupun komik, merupakan pilihan bagi pengumpul yang inginkan sesuatu yang lebih interaktif dalam koleksi mereka.

    Walaupun secara mata kasar, kebanyakan model aksi dilihat sebagai bahan mainan untuk golongan muda tetapi hobi berkenaan kini sudah menyaksikan lebih banyak model-model aksi bukan sahaja direka untuk menarik peminat muda tetapi juga peminat ‘otai’.

    Minat watak wira animasi dan komik

    Bagi ramai pengumpul model aksi termasuk penulis sendiri, minat itu lahir daripada usia muda terutamanya pada zaman kanak-kanak menerusi watak-watak yang diperkenalkan dalam rancangan-rancangan animasi yang bersiaran di televisyen terutamanya pada sebelah petang.

    Daripada rancangan animasi berkenaan, timbul keinginan untuk memiliki watak-watak wira yang diketengahkan untuk dijadikan permainan dan bagi menghidupkan adegan-adegan menarik dalam rancangan berkenaan.

    Pada sekitar 1980an dan 1990an, rancangan-rancangan animasi kegemaran ramai seperti He-Man and Masters of The Universe, M.A.S.K, Teenage Mutant Ninja Turtles dan Centurions, bukan sahaja mendominasi rancangan kegemaran kanak-kanak tetapi permainan atau model aksi mereka turut menjadi pilihan dan rebutan bagi peminat.

    Koleksi pelbagai produk dan model aksi daripada watak dalam Teenage Mutant Ninja Turtles, yang merupakan watak kegemaran penulis dari zaman kanak-kanak lagi.
    Antara model aksi dikumpulkan oleh penulis dari pelbagai watak filem yang terkenal seperti Power Rangers.
    Antara koleksi watak wira komik yang menjadi pilihan untuk dipamerkan.

    Sebahagian pengumpul model atau permainan aksi pada masa ini, merupakan mereka yang membesar dengan watak-watak daripada rancangan-rancangan animasi berkenaan.

    Penulis dan mereka yang mempunyai hobi sama tetap meminati watak-watak daripada rancangan-rancangan animasi itu dan sehingga kini, lebih cenderung untuk mengumpul keluaran terkini model aksi watak-watak animasi berkenaan.

    Selain watak-watak daripada rancangan animasi, watak wira daripada komik juga menjadi pilihan pengumpul model aksi.

    Watak komik telah menjadi pilihan bagi banyak syarikat pembuat permainan untuk dijadikan sebagai permainan pilihan dijual kepada kanak-kanak yang ingin memiliki watak kegemaran mereka.

    Pengumpul model aksi

    Dengan perkembangan teknologi pembuatan model aksi yang moden, syarikat-syarikat pengeluar model aksi terkemuka seperti Hasbro, Mattel dan tidak kurang juga syarikat terkenal dalam kalangan pengumpul tegar seperti McFarlane, NECA, Mezco dan Storm Collectibles, kini dapat menghasilkan model aksi yang lebih menarik serta mempunyai artikulasi yang lebih banyak untuk membolehkan para pengumpul untuk meletakkan model aksi mereka dalam pelbagai gaya yang menarik.

    Ramai pengumpul model aksi merupakan pengumpul yang amat berminat dalam bidang fotografi model aksi dan sering kali mereka akan lebih cenderung untuk mengayakan mo-del-model aksi mereka dalam pelbagai situasi yang menarik.

    Gambar-gambar menarik yang dihasilkan mereka akan dikongsi dengan rakan-rakan yang mempunyai minat yang sama dan juga di laman-laman media sosial mereka serta kumpulan-kumpulan media sosial tertentu.

    Namun begitu terdapat juga kumpulan pengumpul model aksi yang hanya berminat mengumpul watak-watak kegemaran untuk disusun dan dipamerkan dalam kabinet atau rak mereka tersendiri.

    Penulis mengakui tergolong dalam kumpulan pengumpul yang berminat untuk mempamerkan koleksi model aksi serta hanya mengumpul model aksi bagi watak-watak pilihan penulis tertentu di mana lebih gemar kepada watak-watak wira komik dan juga watak animasi.

    Perwatakan model aksi yang tersendiri

    Bagi penulis, setiap watak model aksi yang dikumpulkan mempunyai erti tersendiri kerana bukan sahaja ia memberikan kepuasan untuk mengumpul sesuatu yang menjadi pilihan tetapi ia juga sebagai satu hobi yang unik dan menyeronokkan kerana setiap model memiliki perwatakan yang tersendiri.

    Pada masa yang sama, setiap watak yang dikumpulkan juga melambangkan detik penting dalam kehidupan seperti mengingatkan zaman kanak-kanak ketika menonton watak animasi di kaca televisyen atau melihat watak wira beraksi menewaskan lawan mereka dalam buku komik.

    Setiap detik itu, merupakan antara kenangan indah bagi penulis dalam mengumpul model aksi tersebut, selain sebagai satu cara untuk mengingat kembali memori menyeronokkan itu.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda