Monday, October 7, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Diabetes dalam kanak-kanak meningkat

    STOCKHOLM, 19 JUN – Diagnosis diabetes dalam kalangan kanak-kanak berusia bawah lima tahun telah meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kata sebuah badan amal yang menyokong penyelidikan diabetes kelmarin sambil menambah pandemik COVID-19 mungkin menjadi punca kepada peningkatan itu.

    Laporan baharu oleh Barndiabetesfonden (The Child Diabetes Fund), mengatakan bahawa 460 kanak-kanak di Sweden telah dirawat untuk diabetes jenis 1 pada 2022, meningkat daripada 283 pada 2018, peningkatan sebanyak 62 peratus.

    Hampir satu pertiga daripada kanak-kanak itu memerlukan penjagaan rapi apabila mereka jatuh sakit, kata Barndiabetesfonden dalam satu kenyataan.

    Diabetes jenis 1, sebelum ini dirujuk sebagai diabetes juvana, adalah keadaan autoimun kronik di mana badan tidak menghasilkan sebarang insulin, manakala diabetes jenis 2 yang lebih umum ialah keadaan di mana badan tidak menghasilkan insulin yang mencukupi.

    “Adalah menakutkan bahawa diabetes jenis 1 semakin meningkat mengikut usia. Kita perlu fikirkan tentang cara menanganinya, baik dalam penyelidikan dan dalam penjagaan kesihatan,” kata penyelidik Ake Lernmark dalam laporan yang diterbitkan oleh badan amal itu.

    Organisasi itu berkata penyakit virus sering mendahului diabetes jenis 1 dan mendapati peningkatan di Sweden berlaku bertepatan dengan pandemik COVID-19. Ia juga berkata kajian telah menunjukkan bahawa kanak-kanak kecil yang dijangkiti COVID -19 berkemungkinan menghidap diabetes jenis 1 jika ibu tidak pernah menghidap COVID-19 sebelum anak itu lahir. Jika ibu pernah dijangkiti atau diberi vaksin, risikonya lebih rendah.

    “Dalam sesetengah kanak-kanak, COVID-19 mungkin mencetuskan penghasilan antibodi pertama,” kata Lernmark dalam laporan itu.

    Laporan itu menambah bahawa walaupun sebelum wabak itu, bilangan kes diabetes jenis 1 telah meningkat dan peningkatan perlahan yang boleh diperhatikan dalam beberapa dekad yang membawa kepada wabak itu dipercayai berkaitan dengan virus selesema yang lain.

    Ia berkata bahawa hubungan antara kes diabetes dan COVID-19 mungkin akan berkurangan apabila lebih ramai orang menjadi kebal. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda