Thursday, January 16, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dialisis peritoneal pilihan lebih baik

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 MAC – Dialisis peritoneal merupakan satu prosedur di mana pesakit boleh melakukan rawatan dialisis mereka dengan sendiri di rumah, tempat kerja atau semasa melancong.

    Mengambil kira akan kemudahan itu, pesakit dialisis peritoneal selalunya masih dapat mengekalkan kehidupan mereka seperti biasa iaitu jika pesakit menjalani rawatan dialisis peritoneal pada waktu malam, pesakit masih boleh melakukan aktiviti harian pada waktu siang.

    Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar ketika berucap pada Majlis Perasmian Sistem Pemantauan Data Pesakit Dialisis Peritoneal sempena Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2024, kelmarin.

    “Sementara itu, rawatan hemodialisis pula memberi kesan yang ketara dalam kehidupan pesakit. Rawatan hemodialisis mengambil masa sekurang-kurangnya 4 jam, tiga kali seminggu untuk berada di pusat dialisis dan memerlukan kehadiran jururawat yang terlatih untuk membuat rawatan tersebut,” tambahnya lagi pada majlis yang berlangsung di Pusat Dialisis Rimba, Gadong.

    Beliau menerangkan, dialisis peritoneal adalah pilihan yang lebih baik jika dibandingkan dengan rawatan hemodialisis di mana pesakit dialisis peritoneal sering kali mempunyai jangka hayat yang lebih panjang serta mengalami kurang komplikasi berbanding dengan pesakit hemodialisis.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham menyampaikan ucapan pada majlis perasmian di Pusat Dialisis Rimba, Gadong. – GAMBAR OLEH JAMES KON
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham semasa mengadakan lawatan ke rumah pesakit dialisis peritoneal. – GAMBAR OLEH JAMES KON

    Pada 2023, tambahnya, Perkhidmatan Dialisis Peritoneal mencapai kadar penembusan melebihi 15 peratus dalam tempoh satu tahun di mana ia merupakan pencapaian yang signifikan sejak perkhidmatan tersebut diperkenalkan di Negara Brunei Darussalam.

    “Sehingga pertengahan Februari 2024, terdapat 154 orang pesakit yang menjalani rawatan dialisis peritoneal di negara ini.”

    Pada majlis berkenaan, Yang Berhormat Dato menyempurnakan perasmian Sistem Pemantauan Data Pesakit Dialisis Peritoneal dan menyaksikan demonstrasi penggunaan sistem pemantauan berkenaan.

    Sesuai dengan tema sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2024 iaitu, Kesihatan Buah Pinggang Untuk Semua – Memantapkan Akses Rawatan yang Saksama dan Amalan Ubat yang Optima, pengenalan sistem itu merupakan satu langkah penting dalam usaha Kementerian Kesihatan melalui Jabatan Perkhidmatan Renal untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan bagi pesakit yang menghadapi masalah buahpinggang.

    Langkah berkenaan melibatkan peningkatan akses kepada rawatan yang saksama dan pelaksanaan amalan ubat yang terbaik.

    Dengan adanya sistem pemantauan yang baru diperkenalkan itu, ia akan meningkatkan lagi faedah rawatan. Para profesional kesihatan juga akan dapat merancang rawatan secara lebih terarah dan berkesan bagi setiap pesakit yang menjalani dialisis peritoneal.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham turut mengadakan lawatan ke rumah pesakit dialisis peritoneal di Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Kampung Rimba, Gadong.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda