LONDON, 29 DIS – Amad Diallo bertekad mahu ‘mencipta sejarah’ bersama Manchester United walaupun prestasi kelabnya itu semakin merosot dalam Liga Perdana Inggeris.
United telah tewas dalam lima daripada 10 perlawanan di bawah pengurus baharu, Ruben Amorim, dalam semua pertandingan sejak dia tiba dari Sporting Lisbon untuk menggantikan Erik ten Hag yang dipecat.
Kekalahan pasukan di tangan Wolves, Bournemouth dan Tottenham dalam tiga perlawanan terakhir mereka telah menambah tekanan ke atas Amorim menjelang kunjungan Newcastle ke Old Trafford esok.
United kini di tangga ke-14 Liga Perdana, hanya lapan mata di atas zon penyingkiran.
Bagaimanapun, Diallo telah menjadi salah seorang daripada beberapa pemain harapan United, yang telah menyerlah melalui kemenangan lewat dalam perlawanan derby menentang Manchester City baru-baru ini.
Pemain penyerang Ivory Coast berusia 22 tahun itu telah menjaringkan dua gol dan menambah enam assist dalam liga musim ini. Bersama-sama pemain muda United yang lain, Diallo berhasrat untuk membawa United kembali ke puncak liga.
“Kami adalah sebahagian daripada rancangan itu, kami mempunyai ramai pemain muda di kelab ini, terutamanya Garna (Alejandro Garnacho), Kobbie (Mainoo), Joshua (Zirkzee), Rasmus (Hojlund) termasuk saya sendiri di mana kami adalah pemain muda yang ingin melakar sejarah untuk kelab ini,” kata Diallo kepada MUTV. – AFP