Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 DIS – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof, telah mengetuai delegasi dari Kementerian Pertahanan ke Dialog Manama kali ke-20 di Kerajaan Bahrain, yang berlangsung dari 6 Disember hingga hari ini.
Turut serta dalam rombongan delegasi ialah Kuasausaha Sementara di Kedutaan Besar Negara Brunei Darussalam ke Kerajaan Bahrain, Dayang Nazirah binti Haji Zaini.
Dialog keselamatan tahunan anjuran International Institute for Strategic Studies (IISS) ini menghimpunkan pegawai-pegawai kanan kerajaan, para penggubal dasar, pemimpin-pemimpin tentera dan pakar-pakar dari institusi penyelidikan terkemuka seluruh dunia untuk membincangkan pelbagai cabaran keselamatan di Timur Tengah dan sekitarnya.
Tema tahun ini, Middle East Leadership in Shaping Regional Prosperity and Security, memberi tumpuan kepada keselamatan serantau, penyelesaian konflik, inisiatif keamanan dan pemodenan pertahanan.
Jamuan rasmi yang dihoskan oleh Putera Mahkota, Timbalan Panglima Tertinggi, dan Perdana Menteri Kerajaan Bahrain, Duli Yang Teramat Mulia Putera Salman bin Hamad Al Khalifa, diadakan pada hari pertama dialog untuk mengalu-alukan semua delegasi.
Pada hari berikutnya, dialog dimulakan dengan ucaptama oleh Menteri Luar Negara, Kerajaan Arab Saudi, Yang Amat Mulia Putera Faisal bin Farhan Al Saud. Baginda menekankan kepentingan kritikal diplomasi dan undang-undang antarabangsa dalam menyelesaikan konflik, termasuk konflik Israel-Palestin. Acara ini juga merangkumi pembentangan oleh pakar dan sesi-sesi pleno.
Sejak penubuhannya pada tahun 2004, Dialog Manama telah menyediakan platform penting bagi memupuk diplomasi pertahanan dan meningkatkan kerjasama antara negara-negara.
Tahun ini, acara tersebut telah dihadiri oleh lebih daripada 550 perwakilan dari 40 buah negara, dengan Kementerian Pertahanan Negara Brunei Darusssalam secara berkala mengambil bahagian bagi mengukuhkan hubungan antarabangsa dan mempromosikan kerjasama keselamatan.