BANDAR SERI BEGAWAN, 26 April – Lebih 30 orang wakil komuniti dan persatuan perniagaan telah menghadiri Dialog ‘Perintah Persaingan: Ke Arah Pasaran yang Cekap dan Pertumbuhan yang Mampan’ di Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi, Anggerek Desa, baru-baru ini.
Dialog dikendalikan oleh Jabatan Persaingan dan Hal Ehwal Pengguna di Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE), Kementerian Kewangan dan Ekonomi selaku Sekretariat Eksekutif kepada Suruhanjaya Persaingan Brunei Darussalam dengan kerjasama pihak Darussalam Enterprise.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan JPKE, dialog berkenaan memberi fokus kepada peranan perusahaan dan persatuan perniagaan yang penting dalam mewujudkan pasaran yang sihat dan kondusif bagi pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), kebajikan pengguna serta ekonomi yang mampan di Negara Brunei Darussalam.
Mereka yang menghadiri dialog berkenaan termasuk dari Persatuan Usahawan Muda Brunei, Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Brunei, Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Brunei Darussalam serta daripada sektor perbankan, hotel, pelancongan dan perkapalan.
Kenyataan menyatakan, dialog membincangkan mengenai larangan-larangan utama dalam Perintah Persaingan dan memberikan pandangan serta pertukaran pendapat yang tulus mengenai amalan anti-persaingan perniagaan yang menjadi ancaman kepada perkembangan perniagaan serta manfaat pematuhan kepada menggalakkan peluang pertumbuhan perniagaan.
Mengetuai perbincangan mengenai pengenaan Perintah Persaingan kepada komuniti dan persatuan perniagaan ialah penasihat persaingan, Dr Hassan Qaqaya.
Sesi berakhir dengan penyerahan buku Garis Panduan mengenai Persatuan bagi Perniagaan oleh pemangku pengarah Jabatan Persaingan dan Hal Ehwal Pengguna kepada wakil-wakil persatuan perniagaan. Poster mengenai Dos and Don’ts for Business Associations turut diagihkan.
