Sabtu, 22 November 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dialog harmoni Islam tekankan nilai keluarga dan halal

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 NOV – Dua sesi taklimat utama mewarnai Majlis Dialog Harmoni Kefahaman Islam sempena Maulidurrasul SAW 1447 Hijrah / 2025 Masihi, yang berlangsung di Dewan An-Naura, Tingkat 3, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, hari ini.

    Taklimat pertama bertajuk Kefahaman Keluarga Islam disampaikan oleh Pegawai Ugama, Bahagian Khidmat Nasihat Keluarga, Jabatan Hal Ehwal Syariah, Awang Abdul Mu’iid bin Hariel.

    Dalam penyampaiannya, beliau menjelaskan bahawa perkahwinan dalam Islam bukan sekadar penyatuan dua insan, tetapi satu ibadah dan amanah untuk mencapai ketenangan jiwa, kasih sayang, serta melahirkan zuriat yang soleh.

    Beliau turut menegaskan bahawa keluarga Islam dibina atas asas keimanan, saling menyokong antara satu sama lain serta menjadi tunjang kepada pembentukan masyarakat yang berakhlak tinggi.

    Taklimat tersebut juga memperincikan hak dan tanggungjawab setiap ahli keluarga suami sebagai pemimpin dan pelindung, isteri sebagai pendamping serta pengurus rumah tangga, dan anak-anak sebagai amanah yang perlu dididik dengan nilai Islam.

    Menurut beliau, kesejahteraan keluarga bergantung kepada keseimbangan antara hak dan tanggungjawab, selain penerapan nilai keadilan, kesabaran, dan komunikasi berhemah dalam kehidupan berumah tangga.

    Sesi kedua pula menampilkan Pegawai Ugama, Bahagian Kawalan Makanan Halal, Jabatan Hal Ehwal Syariah, Pengiran Mohammad Zainulariffin bin Pengiran Mohammad Hassan, yang menyampaikan taklimat bertajuk Konsep Makanan Halal.

    Dalam perkongsiannya, beliau mengetengahkan pengetahuan asas mengenai sumber makanan halal, tanggungjawab individu sebelum membeli produk atau bahan mentah, serta kepentingan memastikan sesuatu produk bebas daripada unsur yang meragukan.

    Beliau turut menjelaskan bahawa percampuran bahan tidak halal bukan sahaja boleh berlaku dalam makanan, tetapi juga pada barangan kegunaan seperti kasut dan berus.

    Selain itu, beliau turut menerangkan peranan dan tanggungjawab Bahagian Kawalan Makanan Halal dalam menguatkuasakan dua undang-undang penting, iaitu Akta Daging Halal, Penggal 183 dan Perintah Sijil Halal dan Label Halal, 2005.

    Kedua-dua sesi taklimat tersebut diadakan sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kefahaman para peserta bukan Islam terhadap ajaran Islam yang menekankan nilai keharmonian, tanggungjawab, dan keadilan dalam kehidupan bermasyarakat.

    Pegawai Ugama, Bahagian Kawalan Makanan Halal, Jabatan Hal Ehwal Syariah, Pengiran Mohammad Zainulariffin. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda