Oleh Nurdiyanah R. –
TUTONG, 16 JULAI – Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) terus berusaha dalam memastikan perkhidmatan-perkhidmatan agama yang disampaikan adalah telus, relevan dan berkesan.
Bagi mencapai matlamat itu, KHEU meneruskan Sesi Dialog Bersama Pemimpin Akar Umbi dan Pihak Berkepentingan bagi Daerah Tutong yang diadakan di Dewan Utama, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong, hari ini.
Sesi dialog yang berlangsung pagi tadi merupakan wadah penting bagi bertukar pandangan, mengenal pasti cabaran serta merangka strategi penambahbaikan terhadap perkhidmatan agama.
Inisiatif itu juga mencerminkan komitmen kementerian itu dalam mendukung agenda pembangunan negara melalui perkongsian pandangan antara pihak kerajaan dan masyarakat di negara ini.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, yang juga menyampaikan ucapan alu-aluan dan merakamkan penghargaan kepada mereka yang hadir.
Dalam ucapannya, Yang Berhormat Pehin menjelaskan sesi pertama Dialog KHEU di Daerah Brunei dan Muara lalu, beliau mendengar dan mencatatnya dengan tanggapan yang baik dan pihak-pihak jabatan yang berkenaan di KHEU telah memberi respons dengan menjelaskan tentang hal pertanyaan dan teguran mengenai pengurusan zakat dan hal ehwal masjid.
“Saya berharap biskita di sini, peserta-peserta dialog akan turut menyambut baik kenyataan pihak Jabatan Urusan Zakat, Wakaf dan Baitulmal (JUZWAB) untuk melibatkan kerjasama penghulu-penghulu dan ketua-ketua kampung dalam menyiasat kelayakan para pemohon agihan zakat daripada kalangan anak-anak kampung dan mukim masing-masing iaitu kelayakan untuk mengenal pasti pemohon-pemohon itu benar-benar tergolong sebagai fakir miskin yang layak dan berhak menerima agihan zakat,” tambahnya.
Seterusnya, Yang Berhormat Pehin menyentuh mengenai pengintegrasian yang dibangkitkan dalam sesi dialog pertama berkaitan penjelasan yang diberikan memang telah jelas bahawa pelaksanaannya akan terus dipantau oleh KHEU dan Kementerian Pendidikan.
Turut hadir di sesi dialog berkenaan ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN); para penghulu dan ketua kampung; pegawai-pegawai dari pelbagai agensi kerajaan dan sektor swasta di Daerah Tutong yang terlibat dalam pembangunan komuniti; ahli-ahli jawatankuasa takmir masjid; serta pemimpin-pemimpin belia dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif dalam bidang sosial, dakwah dan pembangunan masyarakat di Daerah Tutong.
Hadir sama ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Raes Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Profesor Madya Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), KHEU, Haji Shamsol bin Haji Omar; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), KHEU, Awang Misle bin Haji Abdul Karim serta ketua-ketua jabatan dan pegawai kanan di bawah KHEU.
Melalui sesi dialog yang diungkayahkan ini, KHEU berharap ianya dapat memperkukuh jaringan kerjasama strategik antara kerajaan dan masyarakat, memperkemas penyelarasan dasar serta meningkatkan keberkesanan perkhidmatan agama di peringkat akar umbi.
Sebagai kesinambungan kepada sesi hari ini, sesi dialog akan diteruskan ke Daerah Temburong pada 22 Julai di Kediaman Rasmi Pegawai Daerah Temburong.
Manakala bagi Daerah Belait, sesi dialog akan diadakan pada 26 Julai, di Dewan Persidangan, Kuala Belait. Terdahulu, sesi dialog diadakan di Bandar Seri Begawan bertempat di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Sesi-sesi dialog ini diharap akan menjadi wadah yang berkesan dalam memperkukuh komunikasi dua hala antara kerajaan dan masyarakat serta mendukung pembangunan ugama secara menyeluruh, progresif dan mampan di Negara Brunei Darussalam.