ANKARA, 6 Nov – Rusia menangguhkan Dialog Kongres Kebangsaan Syria disebabkan Ankara tidak bersetuju dengan penyertaan Parti Kesatuan Demokratik Syria Kurdish (PYD), menurut jurucakap presiden Turki semalam.
Akhir bulan lepas, Rusia mengumumkan bahawa kongres kebangsaan akan diadakan di kawasan peranginan Black Sea, bandar Sochi pada 18 November yang disertai oleh 33 kumpulan Syria dan parti politik termasuk kumpulan Kurdish dan puak penentang anti-Assad.
“Masalah sudah selesai,” Jurucakap Presiden Turki, Ibrahim Kalin memberitahu semasa wawancara tertutup NTV.
“Ankara memberitahu Moscow bahawa inisiatif ini tidak diterima,” tambahnya lagi. “Kami tidak akan menghadirinya tetapi akan menghantar pemerhati. Pihak Kremlin memberitahu kami bahawa mesyuarat telah ditangguhkan dan PYD tidak akan dijemput,” kata jurucakap itu.
Pihak Turki membantah penyertaan PYD kerana Ankara menganggapnya sebagai gabungan Parti Pekerja Kurdistan (PKK), sebuah organisasi pengganas yang disenarai oleh Turki, AS dan Kesatuan Eropah. – Xinhua