Sunday, March 16, 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dialog pertingkat kesedaran tipuan bidaan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 OGOS – Tipuan bidaan, juga dikenali sebagai tawaran secara kolusif, adalah perjanjian antara para penender untuk menghilangkan persaingan dalam proses perolehan, seterusnya menaikkan harga dan mengurangkan kualiti.

    Ia merupakan risiko besar terhadap integriti dan keberkesanan perolehan awam, dan menyekat peluang sektor awam untuk mencapai value-for-money. Oleh itu, pegawai-pegawai perolehan digalakkan untuk mempelajari dan melaksanakan langkah-langkah pencegahan bagi memerangi tipuan bidaan.

    Meningkatkan kesedaran mengenai risiko tipuan bidaan telah terbukti menjadi langkah penting dalam mencegah amalan anti-persaingan berkenaan, ke arah memastikan value-for-money dalam perolehan awam, sejajar dengan matlamat Negara Brunei Darussalam bagi mempromosi penggunaan sumber awam yang cekap dan perbelanjaan yang berhemat. Perkara ini telah dibangkitkan oleh Suruhanjaya Persaingan Brunei Darussalam semasa sesi dialog bersama Jabatan Audit, Jabatan Perdana Menteri yang diadakan di Dewan Serbaguna, Bangunan Bahirah, baru-baru ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, pada sesi pembukaan dialog, Sekretariat Eksekutif Suruhanjaya Persaingan Brunei Darussalam memberi pujian terhadap langkah proaktif Jabatan Audit mengungkayahkan dialog untuk mempelajari mengenai Perintah Persaingan dengan fokus utama larangan tipuan bidaan.

    Lebih 40 orang pegawai dari Jabatan Audit telah menghadiri sesi dialog tersebut dengan diketuai oleh Juruaudit Agung, Haji Yusop bin Haji Mahmud.

    Mewakili Suruhanjaya Persaingan ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara selaku Pengerusi Suruhanjaya Persaingan, Yang Berhormat Nik Hafimi binti Abdul Haadii dan ahli-ahli Suruhanjaya Persaingan, Pengiran Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani merangkap setiausaha tetap (industri) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi dan Hajah Nor Hashimah binti Haji Mohd Taib selaku timbalan setiausaha tetap (keselamatan, penguatkuasaan dan undang-undang) di Jabatan Perdana Menteri.

    Sesi dialog antara lain membincangkan mengenai larangan-larangan utama Perintah Persaingan termasuk larangan Perjanjian Anti-Persaingan, yang mana telah dikuatkuasakan bermula 1 Januari 2020 dan mengongsikan cadangan-cadangan dari kajian kes serantau, amalan terbaik dari autoriti-autoriti persaingan yang berpengalaman serta langkah-langkah khusus untuk menjadikan proses perolehan awam berdaya saing bagi mengurangkan risiko tawaran secara kolusif. Sesi diakhiri dengan dialog aktif membincangkan topik-topik berkaitan fungsi Suruhanjaya Persaingan, pengenaan perundangan persaingan, amalan-amalan bidaan, serta potensi kerjasama antara Jabatan Audit dan Suruhanjaya Persaingan bagi mempromosi persai-ngan dalam prosedur perolehan awam dan mengurangi risiko tipuan bidaan ke arah memastikan penggunaan sumber awam yang cekap.

    Antara peserta yang hadir pada sesi dialog Suruhanjaya Persaingan Brunei Darussalam bersama Jabatan Audit, Jabatan Perdana Menteri yang diadakan di Dewan Serbaguna, Bangunan Bahirah, baru-baru ini. – Gambar serahan Suruhanjaya Persaingan Brunei Darussalam
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda