Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 NOV – Majlis pembukaan Program Dialog Tarannum Bersama Qari-qari Profesional anjuran Masjid Ash-Shaliheen di bawah Jabatan Perdana Menteri telah berlangsung malam ini di ruang utama masjid berkenaan.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed
Program berkenaan diadakan pada 7, 14 dan 21 November itu adalah sebagai inisiatif berterusan Masjid Ash-Shaliheen dalam memperkukuh kemahiran seni bacaan Al-Quran melalui tarannum dan tajwid, sejajar dengan seruan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam agar masyarakat sentiasa mengamalkan dan menghayati pengajaran Al-Quran.
Program tersebut menampilkan tujuh qari profesional berpengalaman di peringkat kebangsaan dan antarabangsa yang berkongsi ilmu secara langsung bersama para pelajar Program Tarannum dan Tajwid Al-Quran Masjid Ash-Shaliheen Kohort Ketiga serta para hadirin.
Dialog dibahagikan kepada tiga sesi bertema berbeza, dipandu oleh Imam Masjid Ash-Shaliheen, Awang Mohammad Syariff Wafiuddin bin Jemain.



Sesi pertama, hari ini, mengupas tajuk Asas dan Teknik Tarannum yang Berkesan bersama Haji Mohammad bin Ali dan Haji Mohammad Zul-Hafiz bin Awang Tengah.
Sesi kedua pada 14 November akan membincangkan Gaya dan Suara dalam Tarannum dengan Haji Muhd Fikri bin Haji Awang Metussin dan Haji Nasrul Fakhri bin Haji Yahya.
Manakala sesi terakhir pada 21 November akan menampilkan perbincangan bertajuk Penilaian Tarannum bagi Standard Qari Profesional bersama tiga qari profesional iaitu Haji Mahrof bin Haji Chuchu, Haji Mohd Zainul Ariffin bin Ridhwan Lubis dan Haji Mohd Noor bin Haji Ibrahim.
Para peserta turut berpeluang mendengarkan bacaan ayat suci Al-Quran secara bertarannum daripada qari-qari jemputan secara langsung, sekali gus merasai keindahan dan kekhusyukan seni bacaan yang menjadi amalan qari profesional di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Masjid Ash-Shaliheen berharap program tersebut menjadi platform penting dalam membentuk generasi Qurani yang berilmu, berakhlak mulia dan bersemangat tinggi dalam memartabatkan Al-Quran sebagai panduan hidup.

