DIAN Sastrowardoyo tidak asing lagi dalam industri hiburan tempatan. Kejayaan filem Ada Apa Dengan Cinta (2002) membuatkan nama Dian kekal diingati sehingga kini.
Menurut Dian seperti yang dipetik menerusi Bintang.com, dia bersyukur mendapat tawaran untuk menjayakan filem Kartini.
“Ini adalah filem biopik pertama saya. Sejujurnya saya sangat beruntung kerana diberi peluang melakonkan watak tokoh bernama Kartini.
“Kebetulan saya memang mengagumi ketokohan dan perjuangan yang dibawa Kartini.
“Saya menerima tawaran itu kerana beranggapan ia hanya datang sekali. Rugi rasanya kalau saya menolak. Saya tersenyum dan bersyukur kerana yakin kesempatan sebegini datang 20 tahun sekali,” katanya.

Dian yang juga pelakon filem Ungu Violet berkata, melakonkan watak tokoh bukan semudah difikirkan kerana banyak perkara perlu dititikberatkan.
Oleh itu, sebelum memulakan penggambaran Dian terlebih dulu mengkaji latar kehidupan dan personaliti Kartini atau nama sebenarnya Raden Adjeng Kartini.
“Walaupun penat, tetapi saya bersyukur kerana dapat belajar banyak perkara. Saya dapat ilmu bagaimana belajar lakonan dengan betul selain meningkatkan kepercayaan diri. Dari situ saya sedar yang saya mampu melaksanakan tanggungjawab itu.
“Sepanjang penggambaran, saya dapat rasa bagaimana kehidupan Kartini dulu. Baik dari segi minat, semangat untuk belajar, hala tuju hidup dan kebebasan. Paling penting buku adalah perkara yang sangat dekat di hatinya,” katanya.
Selain perlu menjiwai seluruh hidup Kartini, Dian juga perlu bijak mengawal emosi tanpa perlu memberontak kerana dia digambarkan sebagai wanita Jawa yang masih memegang teguh tradisi.
Dian berkata, watak Kartini adalah cabaran terbesar untuknya sepanjang menjadi pelakon.
Malah Dian mengakui berasa terbeban untuk menghidupkan watak Kartini dalam filem itu.