Pudarnya motivasi beraksi di hadapan kamera selepas lebih dua dekad, membuatkan aktres Diana Danielle, 32, memutuskan untuk menyambung pengajiannya di peringkat A Level dan diploma.
Diana atau nama sebenarnya, Diana Danielle Danny Beeson berkata, dia pernah menyambung pengajian dalam bidang bioteknologi, bagaimanapun tidak berjaya menghabiskan kerana terikat dengan kerjaya seni.
Justeru, katanya, dia memilih berlakon separuh masa dan fokus sebagai pelajar apabila ada masa terluang memandangkan dua cahaya matanya, Muhammad dan Nur Aurora sudah besar.
“Sesiapa pun kalau buat benda sama lebih 20 tahun, pastinya rasa jemu. Kalau mula bekerja pada usia 20 tahun dan kini, sudah masuk 50 tahun, mungkin saya sudah boleh bersara.
“Jadi, saya rasa takkan ini sahaja yang saya boleh buat. Saya bertanya pada diri sendiri. Takkan saya tak boleh nak teroka apa yang diri saya boleh buat bukan hanya bidang hiburan sahaja.
“Mungkin dalam bidang pendidikan, perniagaan dan pelbagai lagi.
“Sebab pada usia 30-an ini kita boleh buat keputusan berisiko. Kalau usia 20-an masih mentah, jadi inilah masa untuk saya jadi lebih berani untuk lakukan pembaharuan,” katanya kepada BH Online.
Tambah bintang filem Imaginur ini, pengajian itu juga baik buat masa hadapan kerana peringkat A Level dalam subjek kimia, biologi dan psikologi dan Diploma Pengurusan Perniagaan di Kolej dan Universiti Antarabangsa (INTI).
“Kedua-dua bidang ini beri manfaat untuk apa yang mahu dilakukan dalam masa hadapan.
“Sebenarnya saya tak tahu apa yang saya mahu buat dalam usia 40-an. Jadi, saya mula ambil langkah untuk perancangan masa hadapan.
“Untuk itu, saya perlu sambung pengajian. Seperti jurusan Pengurusan Perniagaan pastinya saya tubuhkan dan kawal syarikat dengan baik,” katanya. – Agensi
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2024/02/2490003.jpg)