Saturday, May 10, 2025
28.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Diana Danielle buat ujian AHDH

    Pelakon dan penyanyi, Diana Danielle, 30, mengaku mengatur janji temu dengan pakar psikiatrik di ibu negara, lusa, bagi mengenal pasti sama ada dia menghidap sindrom Kecelaruan Hiperaktif Kurang Daya Tumpuan (ADHD).

    Diana atau nama sebenar, Diana Danielle Danny Beeson mengesyaki dirinya mungkin mengalami simpton ADHD sejak usia remaja.

    “Sepatutnya janji temu diatur pada hari jadi saya iaitu 22 November lalu. Namun, terpaksa dianjak kerana pada hari itu, saya raikan hari jadi saya dan anak yang jatuh tiga hari sebelum ulang tahun kelahiran saya.

    “Kalau boleh, saya harap tidak mengalami sindrom ADHD… Jadi, tunggu apa keputusannya nanti.

    “Kalau ada pun, saya tidak akan menyalahkan diri sendiri dan menerima dengan hati terbuka,” katanya kepada BH Online.

    Diana mengesyaki dirinya mungkin mengalami simpton ADHD sejak usia remaja. – Agensi

    Diana mengaku mengalami simptom seperti masalah daya ingatan, pengurusan dan fokus.

    “Sukar untuk saya terangkan keadaan yang saya alami. Ia membabitkan fungsi kognitif seperti masalah memori dan pengurusan. Saya juga mudah hilang fokus.

    “Bagi saya, apabila saya sudah bergelar ibu, saya mahu menjadi ibu di mana anak-anak boleh bergantung kepada saya. Disebabkan ADHD ini, fokus saya lari, jadi saya kasihan pada anak-anak.

    “Perkara ini bukanlah semata-mata mengenai saya. Tetapi kekuatan datang daripada anak-anak untuk saya menjadi lebih fokus dengan apa yang mereka buat.

    “Saya mahu mental saya bersama dengan mereka,” katanya.

    Diana mendedahkan dia menyedari simpton dialami sejak remaja. Bahkan, ramai rakan rapat berkongsi perkara sama.

    “Saya suka membaca jurnal. Jadi, saya didedahkan dengan fakta yang saya boleh guna dan kaitkan dengan diri sendiri.

    “Disebabkan itu saya syak mengenai perkara ini sejak remaja. Tetapi saya ambil masa yang lama untuk jujur dengan diri sendiri,” katanya.

    Diana berkata, mereka yang mengesyaki diri mengalami simpton ADHD lazimnya tidak tahu merujuk kes itu kepada pakar bertauliah, bimbangkan kos rawatan dan tidak mahu bergantung ubat.

    “Sebenarnya, perkara ini kena ada kesedaran sendiri. Saya tahu ramai orang takut hendak jujur dengan diri sendiri. ADHD bukan susah hendak kesan.

    “Ramai yang ada (simptom) tetapi mereka tidak tahu,” katanya.

    Diana berkata, dia akan merasa lega jika mendapat pengesahan apakah dirinya mengalami sindrom ADHD.

    “ADHD mudah sebab bukan tidak boleh diubati. Ada sejenis ubat yang boleh kuatkan fokus kita. Situasi ini bukan kecelaruan yang sukar atau besar buat saya.

    “Saya tidak terlalu risau mengenainya. Apabila kita sudah tahu, kita boleh kawal jangkaan kita. Ini membuatkan kita tidak kejam dengan diri sendiri. Kalau kita tak tahu, kita akan salahkan diri sendiri.” – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda

    Minyak harum Nur