Pelakon Diana Danielle terkejut apabila sekolah anaknya yang dipercayai sebuah sekolah antarabangsa merancang lawatan ke Switzerland bagi aktiviti bermain ski.
Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson, 34, berkata, ketika zaman persekolahannya dahulu, dia sudah berasa cukup seronok jika dapat mengikuti lawatan ke Menara Berkembar Petronas (KLCC) atau Taman Negara.
“Sekolah anak saya sedang merancang lawatan sekolah tahun depan untuk bermain ski di Switzerland. Kita dulu dapat pergi rombongan ke KLCC atau Taman Negara pun dah rasa seronok, terkedu sekejap,” katanya.
Diana berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Threads miliknya.
Menjengah di ruangan komen, rata-rata warganet mengimbau kenangan menikmati rombongan percutian sekolah meskipun hanya di dalam negara.
“Zaman dulu anak-anak dapat pergi Cameron Highlands pun dah kira mahal weh. Rombongan sekolah anak saya tahun ni pergi ke Abu Dhabi, dulu mak dia pergi Muzium Negara saja.
“Dulu darjah enam pergi rombongan ke Petrosains, sampai hari ini umur dah 37 tahun masih ingat keseronokannya,” tulis warganet.
Untuk rekod, Diana sebelum ini mendirikan rumah tangga dengan pelakon Farid Kamil pada 3 November 2012. Pasangan ini kemudiannya bercerai. Sepanjang perkahwinan, pasangan ini dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 11, dan Nur Aurora yang kini berusia 9 tahun. – Agensi


