Tuesday, December 31, 2024
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Diana Danielle kongsi pengalaman gangguan mistik

    Pelakon Diana Danielle berkongsi pengalaman berdepan gangguan mistik dipercayai angkara perbuatan sihir individu yang dengki terhadap perniagaan ibunya.

    Cerita Diana atau Diana Danielle Beeson, 33, dia pernah diganggu dengan entiti menyerupai ulat bulu dan toyol ketika kecil. Jelasnya, lembaga itu seolah-olah dihantar hanya untuk bermain dengan mindanya memandangkan dia sahaja yang boleh melihat kewujudan mereka.

    “Ibu saya dalam bidang perniagaan, jadi saya rasa mungkin ada unsur dengki. Saya dah biasa kena gangguan masa kecil. Saya pernah mimpi ada ulat bulu dekat lantai karpet. Bila saya terjaga, ulat itu rupanya betul-betul ada dan dia bergerak keluar dari karpet, sampai penuh satu bilik.

    “Masa saya cuba keluar dari bilik, saya nampak lembaga berupa toyol pula terbang mengelilingi saya. Dia siap gelak dan cuba untuk takut-takutkan saya lagi. Hantu-hantu ini dihantar macam nak ganggu minda kita, orang lain cuba selamatkan saya tapi mereka tak nampak apa yang nampak,” katanya.

    Diana berkongsi perkara tersebut dalam temu bual podcast Sembang Seram bersama pelakon Safwan Nazri.

    Selain Diana, rakan kepada ibunya turut menjadi mangsa perbuatan sihir pihak tidak bertanggungjawab itu. Berdepan detik cemas, Diana mendedahkan nyawanya pernah hampir melayang selepas diserang rakan ibunya yang sedang dirasuk.

    “Ibu saya pernah dicekik oleh kawan dia sendiri yang kena rasuk, tapi dia sempat larikan diri. Kemudian, kawan dia pula cari dan cekik saya. Ibu saya tolak saya pergi belakang dia dan kami masa itu memang dah dekat sangat dengan tingkap.

    “Masa mereka tengah bergelut, saya dah hampir terjatuh sebab hanya berpaut pada leher ibu saya, mujur ada orang datang bantu kami,” kongsinya.

    Diana memberitahu pengalaman lampau mengajarnya untuk lebih berhati-hati setiap kali melakukan penggambaran di kawasan pedalaman atau hutan. – Agensi

    Diana berkongsi kisah seram itu menerusi podcast.- mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda